Hidup
ini indah. Adakala keindahan itu dilindung mendung dan awan kelabu.
Adakala keindahan bertambah seri disinari mentari. Keindahan dan
kesayuan silih berganti dan kita sendiri tidak pasti.
Adakala kita berkobar-kobar dan mengimpikan s
yurga,
lantas kita merasakan hidup ini penuh erti dan penuh isi. Adakala kita
rasa sangat lemah dan terbayangkan neraka, lalu merasakan hidup ini
tiada harapan lagi dan kosong tidak bermakna.
Kita termenung sendiri, mencari erti di sebalik perhentian-perhentian dalam kehidupan.
Kita tidak memilih untuk dihidupkan, tetapi kita boleh memilih untuk
hidup sepenuh hati. Begitu juga kita tidak tahu bila akan mati, namun
kita boleh membuat persediaan menghadapinya.
Dalam hidup ini,
tidak semua yang kita ingini akan kita perolehi dan tidak semua yang
kita miliki akan kekal abadi menjadi milik kita. Semalam tidak akan
datang lagi dan besok pula belum pasti.
Apakah harus kita rasa terlalu risau tentang sesuatu yang belum pasti sehinggakan lupa mengisi kehidupan hari ini yang pasti?
Kita sedang hidup dan itu adalah suatu kepastian. Besok belum pasti dan itu urusan Dia yang maha mengetahui.
Beruntunglah orang yang melihat dunia daripada perspektif Pencipta
kerana apa yang digambarkan sudah tentu menepati tujuan penciptaan.
Rugilah orang yang memandang dunia dengan kaca mata nafsu kerana dia
pasti terpesong daripada hala tuju.
Jika kita ingin hidup
seperti yang kita kehendaki, bukan seperti yang Dia kehendaki, ciptalah
satu bumi khusus untuk kita sendiri yang hanya kita berhak meletakkan
aturan di dalamnya.
Mampukah kita?
“Telah semakin
dekat hari perhitungan amal manusia sedang mereka dalam keadaan lalai
(dengan dunia) dan berpaling (dari akhirat).” (Al-Anbiyaa’:1)