Selasa, 31 Julai 2012

Tujuh Warna dari Langit Tujuh - Nukilan Mutiara Pagi sahabat FB

Tujuh warna
dari langit tujuh
terhunjam ke jurang
titisan cahaya jurai jemarai
tak terperi
menyilau pandang
matahari
tujuh warna
lengkung membengkung
dada gunung
naluri rindu membusur tepat
tak tertanggung
menggelepar ghairah
di medan biru

Cakerawala dan
misteri tujuh warna
rahsia sinar terpendar
lapis berlapis
ilmu yang tak habis kikis
hurai demi lerai
simpul demi sirat

Berhadap-hadap di mihrab
menyingkap hijab diri
tak puas-puas sujud
tafakur diri seorang hamba
berhadapan lembaran mukjizat
waktu malam tergelincir
hingga kejora berdandan

Madahan Maha Tinggi
Maha Suci Allah
Pada-Mu jua kami bersujud..


~~ MP ~~
310712 @ 1.30pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan