Nasihat hikmah
Abu Hurairah dan Abu Said r.a memberitakan bahawa mereka menyaksikan dan mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ada jemaah yang duduk sambil berzikrullah melainkan dikerumuni mereka oleh para malaikat, diliputinya mereka dengan rahmat, diturunkan ke atas mereka ketenangan dan disebutkan mereka oleh ALLAH di hadapan mereka yang berada di sisiNya.
Abu zar r.a meriwayatkan bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda:
"Aku menasihatkanmu, kamu hendaklah bertaqwa kepada ALLAH kerana ianya sumber segala amalan. Utamakanlah bacaan Al-Quran dan zikrullah kerana dengan itu nama kamu akan disebut di langit dan sebabkan 'Nur' di permukaan bumi. Perbicarakanlah yang baik-baik atau senyap, nescaya syaitan akan terhindar darimu dan kamu dibantu tentang urusan-urusan agamamu.
Janganlah sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya dari wajahmu akan terlenyap. Utamakanlah jihad kerana itu kebanggaan umatku. Hendaklah mengasihani orang miskin dan menggauli mereka. Dan perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripada keadaanmu. Janganlah sekali-kali memperhatikan keadaan mereka yang lebih tinggi daripada keadaanmu kerana dengan ini kamu tidak dapat mensyukuri nikmat-nikmat ALLAH yang dianugerahkan kepada kamu.
Hendaklah mengukuhkan silaturrahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka memutuskan perhubungan mereka dengan kamu. Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit. Janganlah sekali-kali menghiraukan para pencela mengenai urusan-urusan agama ALLAH. Carilah keaiban dirimu sendiri, janganlah sekali-kali menghebohkan keaiban orang lain. Janganlah sekali-kali memurkai seseorang kerana keburukannya yang terlibat di dalam dirimu sendiri. Wahai Abu Zar tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya, sebaik-baik taqwa ialah menjauhi segala larangan dan tidak ada kemuliaan yang setimpal dengan akhlak yang sempurna
Tiada ulasan:
Catat Ulasan