Jumaat, 16 November 2012

:: Sebuah hijrah ::


share dari link sahabat fb -- Tinta Khalifah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

:: Sebuah hijrah ::

Dahulu

Hijrah adalah satu perkara yang amat sukar. Berpindah ke dunia yang asing, yang tidak mereka ketahui apakah yang bakal mereka temui di dunia baru itu.

Di waktu itu, Rasulullah SAW bersama lebih 300 sahabatnya mengorak langkah, menuju Madinah, demi satu tujuan semata: menyelamatkan aqidah dan dakwah mereka.

Dari episod ini kita belajar sesuatu yang luar biasa sekali.

Hijrah kerana Allah, akan mendapat ALlah.
Hijrah kerana dunia, akan mendapat dunia.
Hijrah kerana wanita, akan mendapat wanita.

Dari Amirul Mukminin Abi Hafs ibn Khattab ra katanya:
"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia berhijrah.

Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan bahawa sebuah hijrah itu bukanlah sekadar ucapan. Namun ia adalah perbuatan.

Hijrah itu adalah tindakan. Bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Bermusafir. Bersusah payah menempuh perjalanan yang sukar.

Itulah hijrah. Ianya dibuat. Bukan hanya sekadar cakap.

Bukan tulis atas papan putih atau kertas warna warni untuk kita tenung dan lihat.

Tetapi satu keazaman yang akhirnya mendatangkan tindakan.
Itulah tindakan perubahan.

Berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.

Pada detik berharga hijrah pertama itu jugalah umat Islam terawal itu melalui fasa baru dalam kehidupan mereka. Fasa perubahan. Fasa mereka harus berbuat sesuatu untuk menyelamatkan aqidah mereka.

Kamu rasa orang Mekah pernah ke keluar pindah negara lain?
Kamu rasa orang Mekah senang ke nak tinggalkan semua harta untuk pergi ke tempat yang mereka tak tahu dan kenal pun?

Dan sebab itulah, apabila dikatakan hijrah, ia bukan satu kata-kata falsafah tahun baru yang asyik diulang-ulang saban tahun. Ia bukanlah jua satu keazaman yang diperbaharui di lidah tapi tak pernah terbukti pada amal. Ia juga bukan bunga-bunga bicara yang indah tapi hampa pada rupa dan makna.

Hijrah itu adalah satu lonjakan keimanan. Lonjakan untuk menyelamatkan iman dan hidayah yang Allah SWT kurniakan. Lantaran itulah hijrah itu harus dilaksanakan.

Jika sepanjang tahun 1433H kita rasa futur, kita rasa tak perform, kita rasa banyak buat maksiat, semua benda haywire, maka 1434H adalah fasa untuk kita berubah.

Berhijrah hati dan jasad.

Bergerak ke fasa baru. Bukan berpindah sikap sahaja. Mungkin perlu berpindah negara, berpindah kerjaya, berpindah universiti waima sekalipun berpindah rumah. Ya, kalau keadaan sebelum ini menurunkan iman dan menggoyahkan taqwa kita maka kita perlu berhijrah! Mungkin selama-lamanya. atau mungkin sebentar cuma.

Seperti mana yang Rasulullah SAW tunjukkan. 10 tahun sahaja di Madinah membina empayar, membina kekuatan dan membina pembaharuan. Di saat iman sudah kental dan Islam sudah kebal, barulah kembalinya dia pada bumi asal.

Mungkin itulah yang harus kita lakukan. Berpindah sebentara dari tempat asal kita. Berhijrah untuk setahun dua, agar kembalinya kita dalam nafas segar dan iman penuh kuat di dada. Agar di saat itu, kita boleh merubah keadaan di tempat asal kita.

Mungkin kita down di rumah kita sendiri, mahupun di universiti, mahupun di tempat kerja ataupun di kawasan dakwah kita, kita rasa down sebab suasana dakwah yang begitu merudum sekali.

Jadi, apa yang harus kita lakukan?

Tidak dapat tidak, kita harus berhijrah. Bukan untuk selama-lamanya. Mungkin sehari dua. Mungkin sebulan dua. Mungkin bertahun-tahun. Hanya supaya aqidah dan iman kita selamat. Supaya di saat kita kembali, kita dapat lebih berkarya penuh makna.

Ini kerana hijrah itu membuka ufuk baru dan memberi cahaya kepada penglihatan hati dan perasaan.

Lihatlah contoh pada sirah Nabi Muhammad SAW. Sebuah kerajaan terbentuk selepas hijrah. Peluang-peluang dakwah baru lebih menggiurkan setelah hijrah. Kekayaan dan kekuasaan menjadi milik Islam setelah hijrah.

Dan kita melihat apabila jauhnya perjalanan seseorang itu, perspektifnya menjadi berbeza dan pandangannya penuh hikmah dan matang.

Kerana apa? Kerana hijrah pasti membawa perubahan kepada diri dan cara pandangan kita terhadap sesuatu perkara.

Hijrah itu bukan pada slogan indah.
Ianya pada sebuah tindakan.
Kita perlu sentiasa lebih baik dari satu keadaan dan keadaan yang lain.

Janganlah berada di tempat statik anda.
Kerana hijrah itu sudah menjadi satu keperluan.

Semoga tahun 1434H membawa kebaikan yang lebih banyak untuk kita semua. InsyaAllah, Aamiin Allahumma Aamiin


Tiada ulasan:

Catat Ulasan