Selasa, 28 Julai 2015

Kekuatan Kaum Muslimin

share dari link fb ~ Raudhatul Muhibbin

Kekuatan Kaum Muslimin; "Kisah ini setelah peperangan Uhud, di mana kekalahan dialami kaum muslimin. Mereka kembali dalam keadaan ramai yang luka, sakit, bahkan sebahagian daripada mereka tak mampu berjalan. Nabi ﷺ mendapat maklumat yang kaum musyrikin akan berpatah balik untuk membantai kaum muslimin."

"Maka, baginda Rasulullah ﷺ mengatakan semua yang ikut bersama berperang perlu keluar semula ke Hamratul Asad untuk mempertahankan kota Madinah. Mereka itu dalam keadaan kalah, dan luka dan diperintah semula untuk keluar balik oleh Nabi ﷺ. Perintah Nabi ﷺ tidak dikeluarkan kecuali ia adalah perintah Allah سبحانه وتعالى. Ini perintah daripada Rasulullah ﷺ yang mesti ditaati."

"Maka pada waktu itu, kaum munafiqin menganggu dan mengatakan, “Kamu sihat pun kalah dalam Perang Uhud, dan sekarang ingin berperang dalam keadaan kamu lemah dan luka-luka seperti ini?” Inilah cabaran untuk tidak taat kepada Rasulullah ﷺ."

"Dan mereka kaum muslimin ketika itu memang tercabar dengan keadaan fizikal mereka. Tapi, dengan didikan iman yang diajarkan Rasulullah ﷺ kepada sahabatnya. Kemudian Allah سبحانه وتعالى berfirman; "Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

"Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah, sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Dan berserahlah kepada Allah dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain, kerana cukuplah Allah sebagai Pentadbir urusanmu."

"Kaum munafiqin mengajak untuk tidak taat kepada Rasulullah ﷺ. Dan pada setiap zaman mesti ada golongan yang mengikut kepada iblis dan menghalang orang daripada taat kepada Allah سبحانه وتعالى dan Rasul-Nya. Setiap zaman, takkan sunyi daripada ajakan untuk mentaati Allah سبحانه وتعالى dan Rasul-Nya dan pada masa yang sama ada ajakan untuk tidak mentaati Allah سبحانه وتعالى dan Rasul-Nya."

"Akan tetapi orang-orang beriman itu mereka yakin, mereka mengatakan, “Hasbunallah wa nikmal wakeel.” Allah lah yang akan mencukupkan kepada kami. Allah سبحانه وتعالى. Allah yang menjadi wakil kepada kami. Allah yang akan mencukupkan kami kepada apa yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ."

"Dan sebab mereka taat kepada Rasulullah ﷺ dalam keadaan mereka tidak bersandar dengan kekuatan mereka, dan kerana mereka memang tiada kekuatan atau bekal ketika itu. Mereka hanya keluar dengan ketaatan dan semangat sahaja. Tapi apa yang berlaku?"

"Mereka yang keluar dengan kesakitan, tapi kembali dengan kemenangan kerana kaum musyrikin telah patah balik ke kota Mekah dan tidak jadi menyerang kota Madinah. Kenapa? Kerana Allah telah hantarkan perasaan takut kepada kaum musyrikin yang mendapat maklumat bahawa Nabi ﷺ datang dengan tenteranya yang luar biasa bersedia menghadapi kaum musyrikin."

"Abu Suffiyan pun berfikir semula, dan memandangkan mereka telahpun dianggap menang dalam Perang Uhud, dia berasa lebih baik patah dengan membawa kemenangan pertama daripada membiarkannya tercemar dalam pertempuran kedua. Mereka pun patah balik kerana perasaan takut sebenarnya."

"Allah سبحانه وتعالى yang hantarkan kemenangan. Apa senjata yang ada pada Rasulullah ﷺ dan sahabat ketika itu? Dengan lukanya mereka, nak berperang macam mana? Modal mereka hanyalah taat kepada Allah سبحانه وتعالى."

"Kalau kamu taat kepada orang kafir, kamu akan rugi. Yakni kalau kamu dengar ajakan kaum munafiqin untuk tidak taat kepada Rasulullah ﷺ, kamu yang akan rugi. Kemenangan takkan diperoleh jika melanggar perintah Allah سبحانه وتعالى dan Rasul-Nya."

"Allah سبحانه وتعالى lah yang meletakkan pada hati mereka kaum munafiqin perasaan takut. Mereka takut walaupun mereka kuat, banyak senjata. Kemenangan tak boleh diukur dengan kekuatan senjata dan lahiriah, tapi kemenangan kaum muslimin hanya boleh diraih dengan kepatuhan kepada Allah سبحانه وتعالى dan Rasul-Nya."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.

blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan