Selasa, 4 Februari 2014

BELAJAR SEDIKIT FAHAM BANYAK (REPOST)


share dari link fb ~Bicara Hidayah

BELAJAR SEDIKIT FAHAM BANYAK (REPOST)

Para Sahabat di zaman awal Islam, sedikit sahaja diajar oleh Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam, mereka dapat faham dengan banyak, luas dan mendalam. Segala apa yang Rasulullah ajar, mereka mampu mengembangkan, mengaitkan, mengkiaskan dan mensyarahkannya hingga ia menjadi sumber ilmu yang lengkap dan menyeluruh.

Berlandaskan ilmu yang diajarkan oleh Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam itu juga para Sahabat mampu mentafsir dan mengembangkan ayat-ayat Al Quran. Sayidina Ali karamallahu wajhah, contohnya, mampu mengupas Surah Al Fatihah hinggakan kalau tiga ratus ekor unta pun tidak akan cukup untuk memikul kitab-kitab kupasan dan tafsirannya itu.

Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam sendiri memang percakapannya atau sabdanya ringkas dan pendek, tetapi isinya padat. Baginda tidak bercakap terlalu panjang tentang sesuatu perkara. Apa yang disabdakan baginda padat, lengkap dan penuh berisi. Untuk dapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan (teras, berisi padat), ilmu itu mesti difikir-fikirkan. Kalau boleh ia perlu juga dimuzakarahkan dan dibawa berbincang. Dengan cara ini, ilmu yang matan itu akan bercambah dan berkembang. Sebenarnya dalam ilmu ada ilmu, dan dalam ilmu kita boleh dapat penambahan ilmu.

Daya fikir pula akan menjadi lebih murni dan tajam dengan roh atau hati yang bersih dan yang sentiasa terhubung dengan Tuhan. Bila roh atau hati itu bersih, Allah subhanahu wa ta’ala akan mudahkan bagi akal untuk meneroka dan memahami perkara-perkara yang bersangkutan dengan ilmu. Itu sebabnya, di zaman kegemilangan Islam, di kalangan para Sahabat, Tabiin dan Tabiit Tabiin, kerana hati mereka bersih, ramai yang dapat menguasai berbagai-bagai bidang ilmu. Tidak hanya ilmu Islam seperti tauhid, fekah, tasawuf, tafsir, ilmu Hadis dan lain-lain lagi tetapi juga ilmu falsafah, astronomi, astrologi, perubatan, matematik, ketenteraan, sains dan sebagainya. Tambahan pada itu ramai di kalangan mereka yang dapat menguasai berbilang-bilang ilmu ini pada satu masa. Walhal sebelum Islam, mereka hanyalah pengembala-pengembala kambing dan ilmu tentang kambing itu sajalah yang ada pada mereka.

Dengan didikan Rasulullah matan, insan mereka terbina, hati dan roh mereka menjadi bersih, akal mereka mampu memahami, mengupas, menyaring dan menterjemah berbagai-bagai ilmu dari tamadun Yunani dan Parsi. Selepas itu mereka pula menambah dan menyumbangkan ilmu-ilmu tersebut dengan berbagai-bagai penemuan yang baru hingga negara Islam menjadi pusat ilmu bagi semua bangsa di waktu itu. 

Cara kedua untuk mendapat faham banyak dari ilmu atau minda yang matan ialah dengan mengamalkannya. Dengan amalan, ilmu akan jadi meluas dan terhurai. Ada hadis yang mengatakan:

Maksudnya: "Barangsiapa mengamalkan ilmu yang dia tahu, Allah akan ajarnya ilmu yang dia tidak tahu (yang dia tidak belajar)." (Riwayat abu Naim)

Ada kata-kata hukama yang berbunyi:

Maksudnya: "Hidupnya ilmu kerana amal."

Apabila kita amalkan ilmu yang kita pelajari (ilmu yang tersurat), maka lama-kelamaan, Allah subhanahu wa ta’ala akan ajar kita ilmu hikmah (ilmu yang tersirat). Ilmu seperti ini tidak perlu belajar. Allah subhanahu wa ta’ala akan jatuhkannya terus ke hati kita.

Kredit: cahayamukmin.blogspot.com
__________________
Shared By: bicara.hidayah ( .. buat diriku ..)
Bicara Hidayah - Bicara Hati ღ
☆ ⋆ ☆ ⋆ ☆ ⋆ ☆

blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan