TADABBUR AL-QURAN PENAWAR HATI MUKMIN
Allah Taala masih menjaga agama ini dari anasir-anasir yang menggugat keasliannya. Dipeliharanya ilmu para ulama dan sarjana Islam yang komited lagi beriman dari terpesong dan disuburkan ladang-ladang ilmu di serata dunia dengan kelahiran generasi-generasi Islam yang istiqamah berpegang kepada kekuatan ilmu yang bersumberkan dari al-Quran dan al-Hadis.
Semakin rancak dan canggih musuh-musuh Islam mahu menodai kesucian al-Quran semakin berani umat Islam yang sedar maju ke hadapan membela dan mempertahankan kemurnian Islam. Semakin dicabar umat Islam maka semakin kuat dan ramai yang sedar bahawa kefahaman mereka tentang al-Quran harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kalau dahulu kita hanya belajar membaca al-Quran tanpa tahu apa isi kandungannya, kini ramai orang yang mula mengkaji al-Quran, mempelajari tafsirnya dan berusaha menghafalnya sepertimana mereka juga mencintai hadis Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Tidak ada alasan untuk kita mengatakan kepada Allah Taala saat bertemu pada hari pembalasan, bahawa kita tidak tahu apa-apa tentang agama ini. Kerana semuanya telah tersedia dengan begitu mudah. Hidayah Allah subhanahu wa ta’ala datang dalam satu pakej lengkap melalui santapan Qurani yang kini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.
Permasalahan utama dalam memahami al-Quran adalah bahasa, tetapi Said Hawwa dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatin Nafs menyatakan bahawa: “Antara kelemahan umat Islam memahami al-Quran selain jurang bahasa ada satu punca yang ramai orang awam tidak memperhatikannya iaitu ‘tidak mampu mentadabburkan al-Quran’. Beliau merumuskan cara-cara mentadabburkan al-Quran, antaranya ialah:
1. FAHAMI TUJUAN MEMBACA
Bukan hanya pahala saja yang diharapkan, tetapi hendaknya Al-Quran itu tertegak dalam keperibadian, seterusnya menggerakkan kita menjadi pembela yang memperjuangkan nilai-nilai Al-Quran dalam masyarakat. Pendeta Zwimmer pernah berucap dalam satu Persidangan Misionari Antarabangsa di Jerussalem Palestin, berkata: “Para misionaris telah berhasil mempengaruhi generasi Islam di pelbagai negara dan mereka lahir sebagai manusia yang tidak mengenal Tuhannya dan asing daripada kitab sucinya, walaupun kalian belum berhasil memurtadkan mereka ke dalam agama kita, tidak mengapa, bukankah mereka telah lahir sebagai generasi yang tidak memiliki idealisme dalam kehidupan?”
Sesungguhnya ancaman bagi musuh-musuh Islam bukan kerana senjatanya, bukan kerana kekayaannya dan ramai bilangannya tetapi kerana jiwa-jiwa Qurani yang terpacak kukuh di serata dunia. Untuk itu mereka memerangi Al-Quran supaya ia tidak tertegak di hati generasi Islam.
2. TADABBUR SUATU PROSES MEMBERSIHKAN HATI
Segala sesuatu yang berasal dari keikhlasan hati akan terpancar keindahan dan kebaikan di dalamnya. Semua ibadah dalam Islam dimulakan dengan niat di dalam hati. Ketika membaca Al-Quran, sebenarnya kita seolah-olah sedang menyelongkar ke dalam diri untuk menilai siapakah kita sebenarnya?
Ramai orang yang begitu mengambil berat tentang suci dari hadas kecil dan besar ketika memegang al-Quran tetapi berapa ramai yang mementingkan kesucian hati dari angan-angan dunia yang menyibukkannya sehingga fikirannya tidak mampu terfokus kepada ayat yang dibaca. Adakah kita mampu merehatkan hati kita dari lintasan-lintasan dengki, riyak, dendam dan kebencian kepada sesama insan ketika memegang Al-Quran?
3. MEMBACA DENGAN HARAPAN MENDAPAT HIDAYAH ALLAH
Sebelum membaca Al-Quran pernahkah kita berdoa:
”Ya Allah berilah petunjuk dengan bacaanku ini.”
Sesungguhnya orang yang mahu petunjuk betul-betul memerhatikan setiap ayat yang dilafaz dan mendengarkan dengan penghayatan sambil mencari apakah yang belum aku kerjakan dari suruhan Al-Quran ini? Dan apa pula perbuatan yang kerap dilakukan padahal ditegah Al-Quran. Jangan bekukan Al-Quran dalam ruangan sempit pemikiran kita. Ayat yang turun mencela golongan munafik dan kafir, itu sebenarnya untuk diri kita juga yang kadang-kadang tersalah jalan lagi alpa.
4. RASULULLAH MENGULANG-ULANGI BACAAN DALAM SOLAT
Tadabbur juga boleh dilakukan dengan cara mengulang-ulangi bacaan sambil menghayati maknanya. Diriwayatkan daripada Abu Zar, beliau berkata: Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat malam bersama kami lalu baginda berdiri dan membaca sebuah ayat, Baginda mengulang-ulang ayat tersebut, iaitu yang bermaksud:
”Jikalau Engkau (Ya Allah) menyeksa mereka maka sesungguhnya mereka itu adalah hamba-hamba-Mu jua dan jikalau Engkau mengampuni mereka maka sesungguhnya Engkau adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Maidah ayat: 118)
Sesungguhnya pengulangan ayat dengan maksud meresapkannya ke dalam hati dan seterusnya sebati di dalam darah dan daging merupakan proses pembersihan jiwa yang diajarkan oleh Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam. Betapa nikmatnya tadabbur yang menjadi kesukaan baginda dan para sahabatnya.
”Ya Allah berilah petunjuk dengan bacaanku ini.” Aamiin, ya Allah.
_____________
Shared By Bicara Hidayah
Kredit: drjuanda.com
Diringkaskan oleh Bicara Hidayah
Blog saya yg lain
boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/
- blog - Sepanjang Jalan Kehidupan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan