MOTIVASI OKU DAN MASYARAKAT – HENTIKAN PENDERAAN
Anak OKU adalah amanah yang menguji keupayaan ibu bapa, dari segi mental, fizikal dan sosial. Kita lihat mereka seperti tersiksa dan sengsara menjalani hidup, namun tahukah kita bahawa kerana kekurangan itu juga mereka menjadi makhluk yang sangat bersyukur, tiada dosa, tiada dendam bahkan tidak boleh dipersalahkan. Kerana kekurangan itu mereka terjamin untuk menempati syurga dunia dan di akhirat sana InsyaAllah.
Di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), kami juga ada beberapa anak-anak OKU ini. sepertimana anak-anak yatim yang masih ada ibu, kami ambil mereka bersama keluarga yang kami jadikan asnaf setelah melihatkan kecelaruan keluarga itu mengendalikan kehidupan mereka. Kerana tidak sanggup melihat anak yatim atau OKU merasa terbuang kerana terpisah dari keluarga mereka, maka kami ambil bersama ibubapa mereka tinggal bersama kami.
Kerana itu ada yang mengatakan OKU itu adalah anak kami sendiri kerana akhirnya ibubapa mereka juga turut menjadi sukarelawan kami, hidup sebagai sebuah keluarga besar. Kami gembeling tenaga dan idea untuk mendidik kesemua mereka secara berjemaah di RPWP, dalam susah maupun senang. Kerana itu RPWP meriah dan tidak seperti ‘Rumah Sakit’.
HANYA INSAN HEBAT YANG TIDAK CACAT AKAL MAMPU MENJAGA OKU
Ada banyak testimoni yang kami kumpul dan kongsikan dalam isu memelihara anak OKU sebelum ini. Ada seorang Warga Emas dan ibu tunggal di Melaka yang mesra dipanggil Mak Usu atau Nenek Su telah berpuluh tahun memelihara anak angkat seorang anak OKU yang sakit sakit dengan penuh kasih sayang macam anak sendiri. Kisah ketabahan seorang lagi ibu angkat kepada seorang anak OKU dewasa yang diserahkan kepada kami baru-baru ini juga amat menarik untuk dijadikan uswah.
Jiran kami bernama Azmi,35 adalah OKU bertaraf ‘total disable’ dan kini dijaga oleh neneknya. Beliau adalah insan yang sekian lama kami bantu secara in-situ, di rumahnya sendiri. Kami akan hantar bantuan, termasuk menghantar beliau ke hospital, atau ke Masjid bilamana diperlukan. Beliau merasa bersemangat bila bersama anak anak kami. Beberapa kali meminta izin dari neneknya untuk menetap di rumah ini namun tidak diizinkan, selagi nenek masih hidup.
Demikian tabahnya insan-insan yang kami jadikan contoh ini. Kebanyakan penjaga ini ada asas agama yang kukuh. Kami bawa anak-anak lihat sendiri bagaimana Nenek Usu yang sakit dan bertongkat memelihara anak Down Syndrom seusia itu. Demikian juga azam nenek kepada OKU Azmi yang juga uzur, namun tidak sekali kali mahu melepaskan cucunya. Di Anak Kurau juga kami perlihatkan contoh penjagaan yang sama oleh penjaga berjiwa prihatin seperti ini.
ORANG NORMAL YANG SEBENARNYA CACAT
Isu viral tentang pengurungan OKU adik Firdaus belum pun selesai. Hari ini kita dikejutkan lagi dengan penemuan menyayat hati seorang lagi OKU berumur sekitar 30 tahun yang dikurung oleh abangnya di bilik batu bahagian bawah rumah sejak 10 tahun lalu selepas ibubapanya meninggal. Sendirian di kurungan berkunci begitu apa akan jadi jika berlaku kebakaran? Kemasukan Ular berbisa? Atau kemalangan lain?
Sebenarnya terlalu banyak kisah pengurungan anak OKU dan warga Emas dalam kajian penyakit masyarakat oleh RPWP. Seorang pengasas kami menceritakan ada sepasang suami isteri bersama 10 anaknya tergamak mengurung ibu sendiri (nenek anaknya) yang lumpuh akibat obesiti di pondok kecil sampai saat ajalnya. Nenek itu hanya merintih setiapkali beliau dan ibunya datang melawat nenek itu secara bergilir setiap hari. Ironinya, niat baik itu malah menyebabkan beliau dan ibunya dimusuhi, kononnya kerana mencampuri urusan keluarga itu.
Apapun punca penganiayaan itu, kami lihat manusia yang gagal melaksanakan amanah itu sendirilah yang sebenarnya OKU secara hakiki. Mereka ini CACAT AKAL fikiran dan pertimbangan kemanusiaannya.
RUMUSAN ULASAN KES ADIK FIRDAUS
Ada segelintir pembaca yang meminta kita bersangka baik terhadap Lola, ibu Firdaus dan semua yang terlibat. Puas kami mencari sudut mana harus kita bersangka baik namun gagal menemui sebarang rasional untuk itu. Satu demi satu pendedahan tentangnya semakin membuatkan usaha untuk bersangka baik atau menganggap ianya satu yang tidak disengajakan menjadi semakin sukar. Kami rasa boleh jadi munafik jika kita masih bersangka baik dalam kes seperti ini.
Hilang sudah kemanusiaan dalam diri manusia hari ini, bahkan ia lebih teruk dari haiwan. Darah daging sendiri pun sanggup dikurung dalam sebuah bilik yang tiada bekalan makanan seolah-olah satu kandang manusia yang kadang-kadang sahaja ibunya yang bekerja di lubuk makanan itu menjengah dengan sebungkus makanan.
Adakah masih mahu berbaik sangka apabila seorang ibu dengan sengaja menyewakan sebuah rumah lain hanya untuk mengurung seorang anaknya yang berstatus OKU? Beberapa mesej dari jiran serta pegawai yang turut serta dalam serbuan itu mengatakan rumah itu tidak kelihatan seperti berpenghunipun. Tahap kebersihan dan bau busuknya amat luar biasa.
ITU BUKAN PENDERAAN? Dari lapuran PDRM baru kami tahu rupanya apa yang di katakan penderaan hanyalah penderaan fizikal sahaja. Bukan penderaankah membiar anak kelaparan hingga sebegitu? Dikurung dalam bilik gelap? tanpa tingkap dan ventilasi? Tanpa baju? Tidak dimandikan? kotoran serta najis dibiarkan berbau busuk? Tinggal sendirian tanpa teman? Tidakkah itu lebih teruk dari penderaan fizikal? Perlukah akta DERA dikaji semula?
MAHU FIRDAUS BERDIKARI? Seorang anak OKU yang menghidap Cerebral Palsy memang memerlukan perhatian yang sepenuh masa. Anak begini memang tidak akan sekali-sekali mampu BERDIKARI seperti kenyataan ibunya yang kononnya meninggalkan Firdaus sendirian di situ untuk mengajar anak itu berdikari.
MASALAH KEWANGAN?. Peringkat awal ada yang mengatakan Lolo kini melarat, kutip tin untuk sara hidup. Gambar selfie, makan di hotel, makeup tebal dan tudung bermanik itu zaman dulu waktu senang katanya. Tetapi bila majikan sekarang tampil menyatakan jumlah gaji beliau kami jadi terkejut. Kemampuan beliau menyewa sebuah lagi rumah juga tidak menampakkan seperti beliau mempunyai masalah kewangan, tambahan lagi beliau dikatakan telah bersuami. Suami bagaimanakah yang tergamak membiarkan semua ini?
KEBERSIHAN TERKAIT DENGAN KEMISKINAN? Adakah mencuci rambut, memandikan, membersihkan najis, menyapu bilik, membasuh baju dan menyalin pakaian memerlukan kekayaan? Atau hanya memerlukan keprihatinan dan kesungguhan?
MISKIN MAMPU BERSOSIAL? Bagaimana orang miskin tegar masih sempat bermain GAME dalam aplikasi di Facebook? Boleh pula ada masa untuk melaram dengan tudung bermanik dan bersolek sakan? Adakah solekan itu lebih penting dari nyawa seorang anak kandung kelainan upaya? Untuk siapakah ditujukan semua aktiviti selfie itu?
MALUKAH ADA ANAK OKU? Mungkinkah suaminya tidak suka lalu beliau merahsiakan kewujudan Firdaus?. Nauzubillah, itu juga sepatutnya masih mampu memberikan penjagaan yang baik kepada remaja OKU. Bukan sahaja membiarkannya tinggal SEHELAI SEPINGGANG tetapi SEKULIT SETULANG.
BERAPA LAMA KELAPARAN? Dari analisa biologi pada fizikal adik Firdaus yang terlalu kurus, muscle atrophy dan dehydrated itu, beliau memang telah kebuluran cukup lama, bukan baru sebulan dua. Sajian hanya mungkin diberi sekali sekala. Waktu menghantar makanan sepatutnya Lola nampak fizikal Firdaus yang sudah macam jerangkung itu. Di manakah naluri keibuan?
Dari segi physiologi, apabila makanan tiada di usus, sumber tenaga seterusnya akan diambil dari hati yang akan memberi isyarat pula untuk pembakaran semua lemak dalam badan. Apabila lemak sudah habis dibakar, tubuh akan mula membakar sumber protein dari daging atau otot untuk dapat tenaga. Setelah habis semua itu barulah anak ini akan mati.
Kami bandingkan keadaan fizikal Firdaus sebelum dan selepas. Ia memang sudah berada di tahap kritikal. Kesan lebam di dahi beliau serta tangisan yang didengar jiran menggambar tekanan luar biasa sehingga menghantuk kepala. Semua kulit sudah melekat pada tulang, termasuk kulit perut yang melekat pada tulang belakang. Ini tandanya semua lemak termasuk di peritonium dan usus di abdomen, juga semua daging sudah habis dibakar. Dia mungkin hanya hidup dengan air atau dengan memakan najis serta polistrin yang ada.
Wawancara dengan jiran dan rakan rakan anaknya menyatakan terakhir mereka lihat Firdaus ialah pada tahun 2011. Ukuran masa pereputan bagi kain, seperti yang kita lihat pada baju reput Firdaus juga bukan berlaku sebulan dua. Dari sudut perubatan, jika dibiarkan kebuluran secara berterusan, mungkin Firdaus boleh terus mati seawal 45 hari. Polistrin itu menunjukkan Firdaus pernah diberi makan sekali sekala. Adakah makanan itu diberi tanpa melihat jasad Firdaus sehingga tidak tahu begitu sekali keadaannya?
Bukan katagori penderaankah namanya bagi kesemua ini? Seorang anak OKU kami pernah mengalami ‘reverse peristalsis’. Segala makanan dan minuman akan tertolak semula selama lebih 3 tahun. Hidup hanya dengan air liur sahaja dan itupun masih nampak macam orang. Alhamdulillah kini beliau sihat walaupun badannya agak kecil.
KESEDARAN MASYARAKAT DAN ANAK OKU
Pandangan masyarakat dengan anak-anak OKU memang sebahagiannya sangat tidak membantu. Selain dari ibu dan bapa tiri, jiran tetangga juga sepatutnya sudah tahu akan perkara ini. Seperti biasa, setelah tersiar di media barulah jiran akan bersuara dengan suara ala-ala “Patutlah tiap-tiap malam dengar budak menangis!” atau lagi haru jika “Kita dengar arwah minta tolong dan menjerit-jerit” tapi apakah yang mereka buat? Berpeluk tubuh saja?.
Isu anak down syndrome yang dikurung abangnya selama 10 tahun di bawah kolong rumah juga sepatutnya mampu jiran-jiran kesan dan laporkan. Mengapa sampai 10 tahun baru nak bertindak? Padahal jangkahayat untuk anak-anak sindrom down ini tidaklah lama seperti orang normal sekalipun mereka sihat. Mengapa diseksa begitu?
Semua paparan berita ini telah membuka mata dan mendedahkan aurat masyarakat kita. Cubaan untuk mengolah berita agar ia kelihatan tidak seteruk mana demi menjaga nama baik negara, agama dan bangsa kita tidak ada gunanya. Semua pihak termasuk Kementerian Penerangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, NGO, dan institusi agama, pendidikan, harus membanyakkan program mendidik dan menyedarkan masyarakat.
ANAK OKU SUMBER REZEKI ATAU SUMBER CACIAN?
Anak OKU perlu diberikan keistimewaan dalam pelbagai aspek. Ia satu ujian kepada kita untuk menjaga mereka ini dengan baik. Kita didik mereka bukan untuk mereka jadi jurutera, jadi usahawan, jadi juruterbang tetapi kita didik mereka supaya mampu untuk jadi peneman kita.
Allah akan turunkan rezeki kita melalui anak-anak seperti ini. Sedar atau tidak, empathy kepada ibu anak ini sekiranya mereka menjaganya dengan baik adalah sangat tinggi. Boleh jadi anda tak perlu naik turun pejabat Kebajikan Masyarakat, tetapi orang lain akan tolong uruskan. Di samping bantuan pihak kerajaan dan majikan, orang ramai juga akan memberikan infaq untuk anak ini jika kena ‘gaya’nya.
Kita pernah dengar ada orang jahat yang dengan sengaja MENCACATKAN anak yang diculik untuk dijadikan OKU bagi meraih sedekah masyarakat. Allah itu maha adil, diberikan kita anak istimewa itu untuk menyedarkan manusia. Jika ibu bapanya redha, insyaAllah rezekinya diluaskan dan kecukupan, sehingga akan terasa sempit rezeki kerana bantuan terputus setelah anak OKU itu mati.
Sebaliknya jika anak itu dikurung sebegini, Allah amat murka dan kemurkaan itu terserlah dari kemarahan manusia yang berjiwa prihatin. Tidak perlu sembunyikan atau kurung anak anak OKU untuk mengelak rasa malu dan rendah diri. Berbanggalah dengan kehadiran mereka.
OKU ADALAH TEMAN ISTIMEWA DUNIA AKHIRAT
Anak yang normal kita mampu jadikan mereka manusia jaya ataupun pemimpin yang mampu menggunakan semua kelebihan akal dan anggota yang mereka miliki. Namun, anak istimewa ini mempunyai keterbatasannya.
Mengapa kita mampu sayangi kucing yang tidak mempunyai pertalian darah dengan kita tetapi sanggup pula kita berikan makanan yang berkhasiat? Adakah kucing itu pandai buka pintu sendiri? Adakah kucing itu pandai pergi kerja? Ataupun ia hanya sebagai PENEMAN sahaja?
Begitu juga anak istimewa yang Allah dah beri tiket percuma ke syurga. Bukankah kita yang waras dan normal ni berusaha nak dapatkan tiket itu? Jadi, tak perlu nak susah payah jadikan anak OKU ini jurutera ataupun imam. Mereka hanya perlu jadi peneman sahaja. Jika pandai basuh berak sendiri pun sudah cukup untuk kita katakan mereka mampu berdikari. Adakah kucing yang berak di atas sofa mampu bersihkan sofa itu sendiri?
Satu persoalan yang menjadi kerisauan semua ibu bapa yang ada anak OKU ialah apa nasib mereka setelah ibubapa tiada? Susah nak cari waris yang mampu menjaganya melainkan mengurung mereka atau campak saja di mana mana. Kerana itu pernah tersiar anak down syndrome dijumpai masih hidup dalam guni di buangan sampah.
Mungkinkah OKU dan anak yatim terjaga jika kita tinggalkan wasiat harta berjuta kepada waris? Silap-silap ke Rumah Kebajikan Masyarakat juga dicampaknya setelah harta itu habis diguna.
KESIMPULAN
Kupasan ini hanya untuk orang yang mahu menggunakan akal sepenuhnya untuk berfikir dan peduli dengan situasi di persekitaran. Lembu dan ayam akan terus makan apa yang ada depan mata dengan penuh selera walaupun rakan mereka sedang diikat dan disembelih oleh 'manusia'. Bersangka baik sajalah kata si lembu dan ayam yang sedang makan di sebelahnya.
Wajarkah kita yang dinamakan manusia, yang berakal ini juga bersikap begitu bila melihat semua ini? Tidakkah apa yang kita pandang dan kita dengar ini 'singgah' di hati? Jika begitu, jelaslah kita lebih teruk dari al-Baqoroh, al-An'am. Semua yang berlaku juga kerana KELALAIAN KITA secara bersama. (QS:7/179)
Jangan gusar jika anda ada anak OKU, jangan anggap mereka bebanan. Sebaliknya anggap mereka saluran rezeki DUNIA AKHIRAT dari Allah. Anggaplah mereka teman kita di dunia yang akan memimpin kita di syurga nanti. Jangan prejudis pada anak OKU. Mereka bersifat penyayang, tidak malu dan tidak berdendam. Bukan seperti anak normal yang kadangkala malu dan tergamak membuang atau mengurung kita pula apabila sudah tua dan nyanyuk kelak.
Biarpun berita adakalanya tidak tepat, namun kita berterima kasih kepada pasukan Imigresen, pemberita, PDRM, JKM dan semua yang telah secara langsung atau tidak mendedahkan ‘penyakit’ sosial paling sadis ini.
Jika OKU itu ganas dan terpaksa dikurung pun kurunglah di rumah yang ada penjaga dan terjamin keselamatannya, bukan terbiar sendirian. Paling baik serahkan saja pada pihak berkuasa jika tidak mampu mengawal mereka. Semuga kisah-kisah ini menjadi iktibar kepada kita semua.
InsyaAllah, anak ini akan terbela.
WARGA PRIHATIN
blog saya
satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan