MEMUJI ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA
Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam pernah bertanya kepada seorang lelaki,
“Bagaimana keadaanmu pagi ini?”
“Baik,” jawab lelaki itu.
Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam mengulangi kembali pertanyaannya. Dan lelaki itu masih dengan jawapannya yang sama.
Walau bagaimanapun, Rasulullah masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapan lelaki itu dan baginda terpaksa mengulangi pertanyaan yang sama, lalu lelaki tersebut menjawab, “Keadaanku baik dan aku memuji syukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala.”
Barulah Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam berkata, “Jawapan itulah yang aku inginkan darimu.”
Bersyukur bererti menghargai nikmat yang telah kita terima dan memuji Allah subhanahu wa ta’ala sebagai Zat Yang Maha Pemberi nikmat. Namun, sayangnya manusia tidak dapat merasai nikmat itu, apatah lagi memuji Allah Maha Pemberi nikmat. Apa yang sering dilafazkan oleh manusia adalah keluhan tentang kekurangannya.
Diakui, sesiapa sahaja boleh bercita-cita untuk inginkan sesuatu yang lebih baik. Namun janganlah sampai kita lupa untuk mensyukuri apa yang Allah telah berikan kepada kita, sehingga kita mensia-siakan nikmat yang ada.
BERAMAL SALEH
Allah subhanahu wa ta’ala telah berfirman, ”Dan barangsiapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah [2]: 158)
Hakikatnya, ramai di kalangan manusia mudah terpesona dengan nikmat tetapi mengabaikan Allah, Maha Pemberi nikmat. Bahkan, memanfaatkan pemberian-Nya dengan menderhakai-Nya.
Pelbagai nikmat membuatkan manusia lupa diri. Seakan berasa tidak malu menikmati kesenangan dan bersenang-senang dengan kenikmatan duniawi kurniaannya. Fikirannya bukan untuk memenuhi amanah, tetapi bermegah-megah. Mereka lupa bahawa semua nikmat dan kurniaan itu adalah cubaan yang harus dipertanggungjawabkan. Seperti firman Allah subhanahu wa ta’ala,
”Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya),” (An-Naml[27]: 40)
Sedikit atau banyak, syukurilah nikmat yang ada dengan ikhlas dan sebenar-benarnya. Iaitu, dengan melakukan amal saleh dan mentaatiNya. Kalaulah hanya dengan nikmat yang sedikit, kita masih tidak mampu untuk bersyukur, apatah lagi nikmat yang banyak? Silap-silap ia menjadi penyebab datangnya azab dan laknat. Seperti firman Allah suhanahu wa ta’ala,
”Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu),” (At-Takatsur [102]: 8)
Justeru syukurilah rasa nikmat agar Allah subhanahu wa ta’ala berkenan menyambut kita sebagai hamba yang diredhai-Nya. Itulah jalan lurus dan sekaligus nikmat tertinggi yang diberikan kepada para Nabi, syuhada, dan solihin.
"Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." (Al-Fatihah [1]: 6-7)
__________
Shared By Bicara Hidayah
Kredit: majalah-i.karangkraf
Blog saya satu lagi yg boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan