Selasa, 23 September 2014

RAHSIA KEENAKAN SEMUA JUADAH KENDURI

share dari link fb ~Warga Prihatin

RAHSIA KEENAKAN SEMUA JUADAH KENDURI

Subhanallah kami mendapat maklumbalas secara sukarela melalui whatsapp, telegram, sms, buku tamu, email dan mesej-mesej Facebook tentang keenakan juadah yang disediakan semasa majlis kenduri minggu lepas. Padahal kami hanya sajikan masakan kampung dan ini merupakan kali pertama kami mengadakan kenduri meraikan pernikahan anak-anak kami. Kebanyakan juadah juga disediakan secara rewang oleh sukarelawan tanpa sebarang upah. Ada juga yang kami masak sendiri walaupun tanpa pengalaman memasak untuk jumlah 3000-5000 orang.

Setelah kami telaah semula setiap rakaman dari 7 buah kamera dan semua CCTV, dapatlah kami melihat satu perkara yang menakjubkan. Kesemua sukarelawan sekalipun penatnya memang sudah ke tahap maksimum tetapi masih tergambar di setiap wajah-wajah mereka itu senyuman yang asli dan bukan dibuat-buat. Keikhlasan jelas terzahir sekalipun kebanyakannya tidak cukup tidur. Bahkan ada yang tidak tidur langsung semenjak sehari dua sebelumnya.

Hampir sedekad kami masak nasi kawah saban hari untuk santapan sebuah komuniti RPWP. Apa sahaja yang dimasak dan disaji terasa enak belaka. Biasa juga anak-anak balik dari jamuan di hotel yang berbagai menu yang mahal-mahal, tetapi masih menyelongkar dapur menikmati sisa masakan ibu-ibu murobbiah mereka.

Mari kami kongsikan, mengapakah dan pada waktu bilakah YANG PERCUMA itu boleh jadi lebih baik dan lebih berkualiti. Ada beza antara PERCUMA dan PRICELESS. Kedua-duanya tidak meletakkan wang ringgit atau bayaran sebagai ukuran sesuatu khidmat tetapi satu tanda aras kepada sebuah KEIKHLASAN.

Tiada seorang butler atau pengasuh professional yang terbaik di dunia sekalipun mampu menandingi kehebatan seorang ibu dan bapa yang tidak berbayar menjalani rutin tanggungjawabnya. Malah mereka ini jugalah yang melaburkan harta dan dirinya untuk menjalankan fungsi diri sebagai ibu bapa.

SAINS KEIKHLASAN DAN KEENAKAN HIDANGAN

Apa itu IKHLAS? Ia datang dari perkataan akar "Kholas" atau secara terjemahannya bermaksud "HABIS". Jelas sekali maksud ikhlas itu sendiri membawa maksud berhabis-habisan atau bersungguh-sungguh (all-out). Inilah pegangan dan prinsip ikhlas dalam kehidupan RPWP.

Semua sukarelawan dan co-founder RPWP memberikan komitmen yang berhabis-habisan, seolah-olah anak kandung sendiri yang diraikan perkahwinannya. Memang itulah cara kami layani anak-anak ini yang telah kami anggap seperti anak-anak sendiri.

Sering masalah katering yang bekerja kerana keuntungan dengan pekerja-pekerja berbayar yang kadangkala terpaksa bekerja pada hari yang sepatutnya mereka becuti. Ini boleh membuatkan senyuman mereka jadi kelat dan keikhlasan menjadi kurang. Ia juga menjadikan mereka berlebih kurang dalam isu kebersihan, soal merasa masakan, kekemasan dan juga layanan. 

Berlainan pula dengan sukarelawan kami yang dari awal tidak langsung hadir atas urusan perniagaan dalam memberi khidmat. Ada di antara mereka itu pengusaha professional dalam bidang perkahwinan dan mereka menyumbang tanpa sebarang balasan. 

Sebagai tuan rumah, kami cuba balas dengan ucapan terima kasih secara terbuka melalui FB kami sekalipun tidak kami janjikan ia menjadi satu kemestian untuk mempromosikan setiap penyumbang. Ada ramai lagi yang tidak sempat kami paparkan disebabkan kekurangan masa untuk mengkerenahkannya. Kami yakin, Allah memberikan mereka balasan dengan cara yang Allah Maha mengetahuinya. 

Seorang ibu dan bapa mendidik anak adalah ikhlas tanpa sebarang bayaran. Malah pelaburan itu tidak mampu dikalahkan mana-mana pengasuh professional yang masih boleh bercuti atau meletak jawatan. 

Kehebatan dalam keikhlasan sukarelawan kami juga kerana mereka mahu lakukannya dengan semangat kekeluargaan juga tidak mampu ditandingi sehebat-hebat syarikat katering yang ada. Komitmen mereka BUKAN PERCUMA tetapi PRICELESS. Tiada tanda harga mampu kami letak dan bayar pada mereka.

Jika sudah ada keikhlasan yang jitu, daging terjatuh pun dikutip dan dibersihkan semula sebersih-bersihnya sebelum dimasukkan semula dalam kuali gulai. Tidaklah terus biarkan terjatuh dan terbazir dan tidak juga mereka membasuhnya lebih kurang atau tidak membasuhnya langsung sebelum dicampur dalam juadah. 

Sewaktu menabur gula dan garam juga akan dipastikan ia dalam keadaan sesedap yang boleh. Dijamah dan dirasakan semula berkali-kali. Ketenangan dalam kegembiraan bekerja dengan ikhlas ini membuatkan masakan dapat diadun dengan tenang dan mampu untuk memberikan hasil terbaik.

Itu juga menjelaskan mengapa masakan dari air tangan ibu sendiri sentiasa menjadi yang paling sedap pada kita. Padahal jika ibu kita buka restoran, mungkin pelanggan tidak kata sedap pun kerana ia telah dimasak secara komersil. Atas dasar ini jugalah, kami lihat mengapa budaya rewang dengan ROH ISLAM ini wajar malah wajib dihidupkan kembali.

Rewang menyatukan dan merapatkan silaturrahim sesama kejiranan. Hari ini semua tidak kisah untuk datang rewang di rumah jiran kerana mereka tahu, tanpa jiran datang rewang sekalipun, katering mampu lakukannya. Bukan kami nak menabur pasir dalam periuk nasi syarikat katering tetapi yang mahu kami nampakkan ialah betapa kita kehilangan senyuman dan keikhlasan yang memacu apa yang kita lakukan untuk berada dalam tahap yang terbaik.

BICARA AMAL, BICARA HASIL – FALSAFAH AMAL, FE’EL DAN HASIL

Di dalam al-quran, Allah mengulangi kata kerja dengan tiga perkataan atau lafaz arab yang berbeza, iaitu ‘AMALA, FA’ALA dan SONA’A .Ketiga-tiganya diterjemahkan dengan maksud yang sama, iaitu KERJA ( contohnya Ta’maluun, Taf’aluun, Tasna’uun). Sebenarnya, Allah ingin menyampaikan tiga fasa yang berbeza terkait dengan kerja atau perbuatan. 

‘AMALA ialah JENIS KERJA/AMALAN yang dilaksanakan untuk diangkat Allah sebagai ibadah bilamana dilaksanakan dengan basmalah. Ia merujuk kepada suatu kebaikan dan pelaksanaan yang dipimpin dengan ilmu dan mahunya Allah. Contoh kerja yang menjadi pokok ibadah ialah khidmat isteri kepada suami, ibu kepada anak, ayah/suami untuk anak dan isteri. Antaranya ialah memasak, membasuh, mengemas, mendidik anak dan sebagainya.

FA’ALA ialah FE’EL/ CARAKERJA yang terkait dengan DISIPLIN seseorang semasa bekerja. Dengan basmalah, Allah perintahkan agar kita bekerja dengan ilmu pengetahuan yang khusus. Allah ajar kita untuk bekerja dengan tertib, amanah, sabar, jujur dan bersungguh-sungguh (ikhlas). Akhlak / Fe’el pekerja yang prihatin juga termasuk menjaga adab, hormat menghormati, sentiasa senyum, mematuhi arahan ketua dan rajin. Fe’el yang baik dalam bekerja itu nanti akan membuahkan hasilkerja yang baik.

Antara fe’el buruk yang biasa berlaku semasa kerja ialah curi tulang, tidak bersungguh (kholas/ikhlas), lalai, bersifat riak, tamakkan upah, menunjuk-nunjuk, ingkar arahan ketua dan sebagainya. Hasil kerja sebegini biasanya tidak baik.

SONA’A pula ialah HASIL KERJA itu sendiri. Apa sahaja kerja baik yang dilaksanakan dengan basmalah, mengikut mahunya Allah, pasti akan memberikan hasil kerja yang baik.

Dalam majlis hari itu, seluruh tenaga yang digembelengkan, dicurahkan tanpa sebarang harapan untuk mendapat habuan mahupun upah. Semuanya hanya mengharapkan keredhaan Allah sahaja. Semuanya berbuat atas nama ALLAH dan ingin memastikan agar perjalanan majlis itu jauh dari segala fitnah yang akan merosakkan nama Allah/Islam itu sendiri. 

Sebaliknya, apa jua pujian dari masyarakat umum dikembalikan semula kepada Allah. Sesungguhnya kesungguhan tangan-tangan hamba Allah yang ikhlas bertugas itulah yang menjadikan semuanya sedap dan sempurna di sisi manusia. Allah telah menetapkan segala sesuatu, yang mana jika kita ikuti kehendak Allah… maka menjadikan hasil kerja yang baik itu adalah semudah KUN FAYA KUN...

SEBUAH KENDURI YANG MENJADIKAN SEMUA TETAMU SEBAYA

Dalam video yang kami teliti juga menampakkan satu fenomena yang mengembirakan. Tidak kira Datuk, Datin, Professor, Doktor mahupun kenamaan yang hadir terus disebayakan dengan layanan tanpa sekatan. Kami lihat semua dalam keadaan yang sangat gembira sekalipun tiada protokol-protokol yang biasa untuk mereka seperti di majlis-majlis lain. 

Dengan semangat kekeluargaan hari itu, pangkat, umur dan status sosial tidak lagi diambil kira apabila masing-masing menggongong aiskrim Malaysia, menghirup cendol dan bergaul mesra dengan kami, anak-anak dan sukarelawan semua. Tiada dinding pemisah antara yang kaya dan miskin, yang tua dan muda, yang tinggi dan rendah, yang terpelajar dengan yang tidak, yang normal mahupun OKU. Semuanya seperti sebaya. Itu jugalah salah satu dari suasana syurga yang di dalamnya semua warga dikatakan sebaya.

Sebagai tuan rumah, tiada apa yang mengembirakan kami selain melihat semua yang berjalan semasa kenduri itu dalam keadaan stress-free dan gembira seperti adik beradik sahaja semuanya. Setelah hampir seminggu majlis itu berlalu, kami kini telah sangat merindukan suasana sebegitu lagi. Memang penat.. tetapi sangat mengembirakan.

KESIMPULAN 

Majlis ini telah membuktikan kehebatan maqom IKHLAS (berhabis/ bersungguh). Yang menyumbang modal, yang memasak, yang memayungi tetamu, yang mengemas dan menghias, yang memikul, yang membuat persembahan bahkan penyambut tetamu yang senyum juga semuanya berhabis-habisan.

Benarlah dikatakan air tangan yang ikhlas akan menghasilkan masakan yang enak. Tukang masak yang ikhlas akan memasak bersungguh-sungguh kerana itulah sikap yang Allah lakarkan melalui basmalah. Menyukat, merasa masakan, menanak semuanya dilakukan dengan sungguh-sungguh. Semuanya dilakukan dengan hati-hati dan ikhlas, bukan kerana gaji dan puja puji, tetapi mahu meraikan tetamu agar puashati. Kepuasan hati itu akan membuatkan manusia memuji Allah.

Kami juga lihat tetamu kami tidak banyak kerenah. Mereka semua sedar bahawa majlis itu adalah majlis amal buat meraikan asnaf dan anak-anak yatim, merestui satu perkahwinan ibarat mendirikan masjid, merapatkan silaturrahim yang mungkin renggang dan sebagainya. Apabila hadir dengan ikhlas, hati jadi tenang dan saraf otak dapat berhubung dengan lancar. Apabila keenakan yang dicari, maka enaklah yang ditemu. Jika kecacatan yang diteliti, maka kecacatanlah yang terjumpa.

Alhamdulillah. Yang jelas majlis ini berjaya mematuhi kehendak Allah untuk menghubungkan silaturrahim sesama manusia. Keenakan terasa kerana yang memasak dengan basmalah dan kasih sayang, yang makan juga dengan basmalah dan kasih sayang. Di sinilah terzahirnya konsep hubungan dengan Allah (habblu mina Allah) dan hubungan sesama manusia (habblu mina annas).

Group Rewang di Telegram juga sepakat untuk tidak dibubarkan bagi meneruskan silaturrahim yang telah sedia terjalin. Masing-masing merindukan suasana kekeluargaan itu dan mahu ianya diteruskan. InsyaAllah sebahagiannya akan beraksi semula dalam program QURBAN di AidilAdha nanti.

WARGA PRIHATIN

Blog saya satu lagi yg boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan