Rabu, 13 Mac 2013

Bila menghina orang lain, tidak menjadikan kita lebih mulia. Dan bila kita muliakan orang lain, tidak pula menjadikan kita hina.





Peraturannya sangat mudah. Bila menghina orang lain, tidak menjadikan kita lebih mulia. Dan bila kita muliakan orang lain, tidak pula menjadikan kita hina.

Kenapa kita mudah benar memandang rendah terhadap orang lain. Tak kiralah dari segi apa sekalipun. Mungkin kita fikir kita lebih pandai, lebih kaya, lebih berilmu atau lebih alim. Namun sedarkah bahawa semua kelebihan itu tidak menuntut untuk merendahkan orang lain. Usahkan melalui kata-kata yang kita hamburkan atau tingkahlaku kita tunjukkan malah lintasan hati yang merasakan kita lebih baik dari orang lain. Semua itu bentuk ‘penghinaan’ terhadap orang lain.

Dalam hati kita ini pusat kebaikan atau mahmudah mahupun keburukan atau mazmumah. Ia mengikut apa yang kita tanamkan dalam diri kita. Bila hati kita baik, tingkahlaku dan sangkaan kita baik-baik belaka. Bila hati kita dihinggapi keburukan, tingkahlaku dan sangkaan kita buruk-buruk pula.

Mungkin kita terlalu yakin bahawa kita mampu melalui apa yang diuji ke atas individu lain. Namun tidak semudah itu. Bila kita tak diuji sedemikian, sebenarnya kita tak mampu.

Allah menguji hamba-Nya mengikut apa yang mampu ditanggung oleh mereka.

Bila kita meletakkan diri kita dalam kedudukan lebih tinggi dari orang lain, kita sangat lupa bagaimana semua itu boleh berubah sekelip mata. Apa yang kita ada atau miliki, semuanya milik Allah. Jika Dia menghendaki semua itu hilang, bagaimana agaknya kita?

Akhirnya, semua ini peringatan bersama. Jika ada rasa kita lebih mulia dari orang lain, berhati-hatilah. Allah mengurniakan semua itu untuk kita syukuri. Bukan untuk memandang rendah orang lain.

Ingatlah bahawa bila menghina orang lain, tidak menjadikan kita lebih mulia. Dan bila kita muliakan orang lain, tidak pula menjadikan kita hina.

Waallahualam…

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua. Ameen…

kredit kepada: citratus.blogspot.com
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan