Jumaat, 29 Mac 2013

Jauhi Fitnah


Jauhi Fitnah

Penyebaran fitnah sangat mudah berleluasa di zaman ini dengan adanya kemudahan telekomunikasi seperti, televisyen, telefon bimbit, komputer berinternet, dll. Fitnah boleh menyebabkan perpecahan di dalam sesuatu masyarakat dan boleh menjurumuskan individu yang mulia ke lembah penghinaan dan begitulah sebaliknya cuba menaikkan taraf orang yang jahil.

Islam mempunyai kaedah yang sangat ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak mempunyai unsur fitnah. Wajib bagi Muslim yang beriman menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah kontroversi berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran penerima amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan penyebar berita berunsur fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan....terutamanya orang yang dihormati masyarakat. Pada masa sama, perbuatan itu bertujuan untuk menonjolkan diri penyebar fitnah seolah-olah penyebar fitnah itu sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang difitnah itu.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri penyebar fitnah dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah menjadi muflis di akhirat nanti. MAKA SIA-SIALAH SEGALA AMAL IBADAT SEMBAHYANG, PUASA, BERZAKAT, DLL.

Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Pengajaran: Fikir-fikirlah biarpun beribu kali sebelum membuat fitnah. Sememangnya terdapat syaitan di kalangan jin, dan syaitan di kalangan manusia.

darimataazyma.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan