Ahad, 9 Mac 2014

‘AIN: PANDANGAN MATA YANG JAHAT

share dari link fb ~ Bicara Hidayah

‘AIN: PANDANGAN MATA YANG JAHAT

‘Ain merupakan satu perkara yang agak asing dalam masyarakat kita walaupun ia sebenarnya adalah satu perkara yang amat penting untuk diketahui kerana besarnya mudarat yang boleh tertimpa ke atas seseorang melalui ‘ain. Dalam tulisan ini, saya akan cuba untuk menjelaskan apa itu ‘ain seperti yang disebut dalam hadis-hadis dan penjelasan para ulama’.

Terdapat banyak hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang menyebut mengenai ‘ain dan ini membuktikan kebenarannya dan kewujudannya. Ia mungkin kedengaran agak janggal bagaimana pandangan mata itu boleh merosakkan, memudaratkan atau menyebabkan seseorang itu sakit. Tetapi sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan perkara ghaib, kita wajib menerima perkara ini walaupun ia sukar diterima akal dan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan ‘ain supaya tidak menimpa kita dan ‘ain kita tidak pula menimpa orang lain.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata:

“Sesungguhnya pandangan mata itu adalah benar.” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad]

Disebutkan dalam penjelasan hadis ini bahawa pandangan mata itu adalah sesuatu yang telah Allah jadikan sebagai satu sebab yang boleh memudaratkan dan ia memang benar-benar wujud! Ia boleh terjadi apabila orang yang memandang itu kagum dengan sesuatu yang dipunyai oleh orang lain, lalu dia menginginkan kebinasaan atau kemudaratan ke atas orang itu. [Lihat : al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi, 6/186]

Dari Ibn ‘Abbas radhiyallallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata: 

“Pandangan mata itu adalah benar, jika ada satu perkara yang boleh mendahului qadar (ketetapan Allah), maka ‘ainlah yang boleh mendahuluinya.” [Diriwayatkan oleh Muslim]

Hadis ini menunjukkan besarnya mudarat yang boleh dikenakan oleh ‘ain. Jika diandaikan adanya satu kekuatan yang boleh mendahului ketetapan Allah, itulah ‘ain. Walaubagaimana pun ia tetap tidak dapat mendahuluinya kerana kita mengimani bahawa ilmu (ketetapan) Allah mendahului segala-galanya.

||||||||||||||||||||||||||||||||||||

‘Ain ada 2 jenis: ‘ain manusia dan ‘ain jin. Dari Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam melihat seorang hamba perempuan di rumahnya dan mukanya berubah warna kehitaman. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata: 

“Berilah ia ruqyah (jampi), sesungguhnya dia telah ditimpa pandangan mata”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]. 

Disebutkan bahawa pandangan mata itu ialah pandangan mata jin. [Lihat al-Baghawi, Syarh as-Sunnah]. Hadis ini juga menunjukkan bahawa orang yang tertimpa ‘ain boleh diubati dengan ruqyah (jampi) (dan ini akan kita bincangkan dalam post lain inshaAllah).

Dalam satu hadis juga ada menceritakan kisah seorang Sahabat Rasulullah yang bernama Sahl bin Hunaif sedang mandi, lalu seorang Sahabat yang lain yang bernama ‘Aamir bin Rabi’ah berjalan melewatinya yang sedang mandi. Apabila ‘Aamir ternampak kulit Sahl yang putih dan cantik itu, beliau terus berkata dengan penuh kagum: 

“Demi Allah, aku tidak pernah melihat (sesuatu) seperti yang aku nampak hari ini hatta tidak seperti kulit hamba perempuan!”. Lalu Sahl terus jatuh pengsan. Maka Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam datang kepada ‘Aamir dan dengan marah Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata: 

“Untuk apa kamu hendak membunuh saudaramu? Apakah kamu tidak mendoakan keberkatan baginya? Mandilah untuk dia!”. [Diriwayatkan oleh al-Imam Malik; al-Arna-uth berkata : Perawinya semua dipercayai]

Inilah kisah benar yang pernah terjadi di zaman Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam dan kita tidak boleh mengingkarinya. Sesungguhnya Allah telah menciptakan kekuatan pada tubuh badan kita, sebagai contoh; tangan boleh menumbuk, kaki boleh menyepak dan mulut boleh berkata. Maka begitu jugalah roh ataupun spiritual kita mempunyai kekuatan yang boleh memudaratkan. Spiritual boleh memberi kesan kepada fizikal kita, contohnya lihatlah bagaimana muka seseorang itu boleh bertukar menjadi merah apabila dia marah atau malu kepada seseorang. Semua itu adalah kesan spiritual kepada badan.

‘Ain juga boleh jadi daripada perasaan dengki terhadap seseorang dengan apa yang dimiliki lalu dia mengkehendaki kemudaratan untuk orang yang didengkinya itu. Al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah mengibaratkan ‘ain ini seperti ‘anak panah’ yang keluar daripada jiwa orang yang mendengki dan ditujukan kepada orang yang didengkinya itu. Adakalanya ia mengena dan adakalanya tidak mengena. Apabila ia mengena seseorang itu dan dia tidak melindungi dirinya dengan zikir dan doa yang diajarkan oleh Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam, maka ia akan terkesan oleh ‘ain. Jika dia mempunyai ‘perisai’ yang melindunginya maka dia tidak akan terkesan [Lihat : Ibn al-Qayyim, Zaad al-Ma’aad, 4/153-154].

||||||||||||||||||||||||||||||||||||

BAYI JUGA BOLEH TERKENA ‘AIN

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam masuk dan mendengar suara bayi menangis, Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata: Mengapa bayimu ini menangis? Lalu apakah kamu semua tidak memberi ruqyah kepadanya daripada ‘ain (pandangan mata)? [Diriwayatkan oleh Ahmad. Syu’aib al-Arna-uth berkata : Isnadnya lemah]

Hadis ini menunjukkan bahawa bayi juga boleh terkena ‘ain. Dan Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruh kita supaya membaca ruqyah (jampi) untuk mereka yang terkena ‘ain.

||||||||||||||||||||||||||||||||||||

BAGAIMANA UNTUK MENGELAKKAN TERKENA ‘AIN DAN MENGENAKANNYA KE ATAS ORANG LAIN?

Seseorang itu boleh berlindung daripada terkena ‘ain iaitu dengan cara membaca zikir pagi dan petang yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad shallallahu ‘alayhi wa sallam. Satu lagi cara yang disebut oleh Ibn al-Qayyim rahimahullah ialah berhati-hati supaya tidak menunjukkan kecantikan atau kebaikan sesuatu yang ditakuti boleh tertimpa ‘ain ke atasnya.

Kita tidak tahu apakah pandangan mata kita boleh memudaratkan seseorang atau pun tidak. Maka oleh itu, eloklah kita mengambil langkah berjaga-jaga. Apabila kita melihat sesuatu yang mengkagumkan kita segeralah kita mendoakan kebaikan bagi orang itu. Ini disebut dalam satu hadis di mana Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepada ‘Aamir bin Rabi’ah dalam kejadian ‘ain menimpa Sahl bin Hunaif: 

“Tidakkah kamu mendoakan keberkatan (kebaikan) baginya?”, iaitu kamu mengatakan : ‘Allahumma baarik ‘alayhi (Ya Allah, berilah kebaikan ke atasnya) [Diriwayatkan oleh al-Imam Malik].

Selain itu, kita juga boleh menyebut: Masha Allah, la quwwata illa billah (tiada kekuatan melainkan dengan Allah). Ini diriwayatkan oleh Hisyam bin ‘Urwah dari bapanya: Jika dia melihat sesuatu yang menakjubkan dia, maka dia akan menyebut Masya Allah, la quwwata illa billah.

Manakala untuk bayi pula, bacakanlah doa yang telah diajar oleh Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ini kerana mereka juga boleh terkena ‘ain.

Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam memohon perlindungan daripada Allah untuk Hasan dan Husain dan Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam membaca:

أُعِيْذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَامَةِ مِنْ كُلِ شَيْطَانٍ وَهَامَةٍ وَمِنْ عَيْنٍ لَامَةٍ 

Maksudnya : Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna (nama-nama Allah) ke atas kamu berdua daripada segala syaitan, binatang berbisa dan pandangan mata yang jahat.[Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Dipetik dengan suntingan dari: ilidalila.wordpress
__________________
Shared By: bicara.hidayah ( .. buat diriku ..
☆ ⋆ ☆ ⋆ ☆ ⋆ ☆
 

Blog saya yg lain boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan