Jumaat, 21 Mac 2014

Muhasabah diri : Menegur itu biarlah...

share dari link fb ~Akhi Tinta Khalifah
Muhasabah diri : Menegur itu biarlah...

Tegurlah dia, 
Tapi bukan dengan menyumpit peluru suara
Berdentum memecah telinga

Tegurlah dia,
Tapi bukan dengan perlian nista
Berdesing membelah jiwa

Tegurlah dia,
Tapi bukan di hadapan berjuta mata
Kau membuatnya merah muka
Hatinya kan bengkak kerana terluka
Benci mula menjalar ke sarang dada

Di manakah hikmah berkata-kata?
Haiwankah dia yang mesti kau hamburkan kerasnya nada?
Padahal haiwan juga akan mengaum marah
Inikan pula manusia yang dilengkapi rahsia jiwa dan maruah
Apakah peradaban akhlak itu hanya catatan di medan sirah?

Tegurlah dia, bila dia salah.
Tegurlah dia, bila dia khilaf.
Kita manusia sentiasa akan tersalah arah.
Graf iman selalu berubah-ubah.
Naik atau turun tiada bernoktah

Usah menegur dalam amarah
Kerana yang tertinggal dalam hatinya,
bukanlah nasihat yang kau hamburkan hujah
Tapi kurangnya akhlakmu dalam berdakwah islah

Tegurlah kerana engkau sayang
Tegurlah dia kerana engkau cinta
Hakikat mahu bersama-sama ke syurga sana

Maka caranya
Bukan dengan perli
Bukan dengan herdik
Itu tidak akan buat dia terdidik
Bahkan membuatnya bertambah jelik
Bagaimana engkau dapat memantul cahaya Hidayah
Jika engkau juga hanyalah cermin kotor yang pecah?

Dia punya perasaan, wahai engkau yang mulia
Ketidakwajaranmu mencarik sukma manusia
Kau beri dia barah-barah neraka
Kau suntik dia racun-racun bahana
Sehingga dia kesakitan tak berupaya
Akhirnya apabila dia mengganas menghambur darah
Padahnya kau juga sama ikut terluka

Jagalah air mukanya
Kerana dia itu manusia
Hormatilah kemanusiaannya
Kerana dia datang dari Penciptamu yang sama
Belajarlah melalui kekasih Dia
Bagaimana mahu memenangi hati para manusia
Rapatilah dia, selami sampai ke daerah jiwa
Selitkanlah nasihatmu melalui cara halus yang bijaksana

Nescaya walau pedih akan cuba dia menerima
Kerana pedih itu terawat sudah dengan akhlakmu yang mulia
Menegurlah sebagai seorang manusia
Bukan seperti malaikat yang suci tak bernoda
Sedarlah bahawa kau juga hanyalah manusia biasa
Sama seperti dia yang berlumur noda

Sebelum kau tuding jarimu ke wajahnya
Perhatikanlah dahulu ke arah dirimu
Sedarkah engkau
Hukumanmu ke atas jemala mereka
Seolah engkau itu
Tak pernah sekali pun berdosa...

blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan