Ahad, 8 Mac 2015

KISAH RABIATUL ADAWIYAH

share dari link fb ~ Ustaz Iqbal Zain
KISAH RABIATUL ADAWIYAH (1)
( Wali Allah Perempuan Yang Mesti Dicontohi Wanita Dan Lelaki )
Rabiatul Adawiyah berasal dari Basrah,Iraq adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangan harus dicontohi oleh wanita Islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya di memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.
Kisah bermula pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelubungi masyarakat Arab kebanyakan sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama tapi terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya dia akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa disamping ayahnya hinggalah dia dewasa, apabila ayahnya meninggal dunia. Dia menggantikan tempat ayah sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada raja dan tetamu raja.
Suatu hari timbul kesedaran di hatinya merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat kepada Allah.
Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia sedang munajat memohon doa kepada Allah. di dalam kegelapan biliknya kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah dan jangan lagi menyiksanya kemudia raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.
Sampai habis tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja. Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumah telah roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu malam, seorang pencuri terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia ingin pergi mencuri di situ. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat.
Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam rumah Rabiatul Adawiyah melainkan sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan ingin bunuh Rabiatul Adawiyah. Apabila dia mengeluarkan pisau dan ingin menikanm Rabiatul Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa yang dia inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin membunuhnya. Lalu dia menyuruh pencuri itu mengambil wudhuk dan bersolat serta memohon pada Allah apa yang dia inginkan. Lalu pencuri itu bersolat dan minta pada Allah agar mendapat rezeki yang banyak supaya dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.
Pada masa yang sama diluar kelihatan kereta kuda yang membawa banyak harta yang menuju ke arah pondok Rabiatul Adawiyah. Raja menghantar orang untuk memberi Rabiatul Adawiyah harta yang banyak. Apabila orang itu datang menemui Rabiatul Adawiyah kerana ingin menyerahkan harta itu, Rabiatul Adawiyah mengatakan dia tidak pernah meminta harta dari Allah tetapi orang disebelahnya yang memohon kepada Allah jadi berikanlah harta itu kepada orang yang memintanya. Pencuri itu gembira kerana mendapat harta dan dia membuat sebuah mahligai yang indah.
Pada suatu hari ada seorang lelaki menemui pencuri itu dan bertanya bagaimana dia mendapat harta yang begitu banyak dalam sekelip mata. Dia pun menceritakan kisahnya kepada lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa wanita yang ditenuinya itu adalah wali Allah. Dia berasa terkejut dan menyesal kerana tidak berterima kasih kepada Rabiatul Adawiyah lalu dia ke pondok Rabiatul Adawiyah untuk menemuinya. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang nazak. Akhirnya Rabiatul Adawiyah pergi menemui kekasihnya.
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka dibayangi-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya). [Surah al-A’raf, ayat 201]
Sebagai umat Islam kita perlulah sentiasa mengingati Allah dan sentiasa memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wanita masa kini perlulah mencontohi wanita Islam yang terdahulu yang sentiasa mengagungkan Islam dan sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni yang Islam tuntutkan. Jadikan mereka sebagai ikon untuk menjadi wanita solehah dan berjaya didunia dan akhirat.
share dari link fb ~Ustaz Iqbal Zain
RABIATUL ADAWIYAH (Part 2)
(Wanita Sufi Pencinta Allah)
Jalan mahabbatullah(cinta Allah) dalam dunia tasawuf dipopularkan oleh seorang wanita suci yang menjadi kekasih Allah (Waliyyullah), Rabiatul Adawiyah.Konsep tariqatnya ialah tariqat cinta. Tampilnya Rabiah dalam sejarah tasawuf Islam, memberikan cerita tersendiri dalam menempuh perjalanan menuju kehampiran dan kedekatan kepada Allah dengan menaiki kenderaan 'CINTA'.
Bahkan dengan kemampuannya dalam menempuh perjuangan 'melawan diri sendiri' dan seterusnya tenggelam dalam 'telaga cinta Ilahi', dinilai oleh kalangan sufi telah melangkaui 100 darjat orang soleh daripada kalangan lelaki.
Rabiatul-Adawiyyah termasyhur kerana pengalaman kerohaniannya, iaitu mahabbah atau penyerahan diri total kepada Allah SWT. Pengalaman ini diperoleh bukan melalui guru tetapi daripada dirinya sendiri.
Jika sebelumnya ahli hadis dan fikh, Hasan al-Basri telah merintis kehidupan zuhud berdasarkan rasa takut dan harapan,konsep tariqatnya ialah zuhud maka Rabiah melengkapinya dengan cinta kepada Tuhan.Cinta merupakan konsep utama tariqatnya Cintanya kepada Allah SWT telah memenuhi seluruh jiwa raganya. Tidak menyisakan tempat di hatinya untuk mencintai sesuatu selain Allah.
Bagi Rabiatul Adawiyah, dorongan mahabbah berasal daripada dirinya sendiri dan juga kerana hak Allah SWT untuk dipuja dan dicintai. Puncak pertemuan mahabbah antara hamba dan cinta kasih Allah SWT yang menjadi akhir keinginan Rabiah.
Rabiah yang berparas cantik, memiliki suara merdu dan pandai menari ini ditugaskan oleh tuannya sebagai penghibur. Setelah belasan tahun menjadi penghibur, suatu hari ketika menyanyi, Rabiah merasakan kedekatannya dengan Allah SWT yang seolah-olah memanggilnya.
Sejak itu, dia menolak semua perintah tuannya untuk menyanyi dan menari sehingga tuannya marah. Bahkan menyeksanya. Namun, Rabiah tetap berdoa kepada Allah.
Maka Rabiah telah dijual kepada seorang sufi yang kemudian mengajaknya bernikah. Rabiah menolaknya kerana cintanya hanya kepada Allah SWT. Setelah dibebaskan, Rabiah memutuskan untuk hidup menyendiri.
Cinta Rabiah kepada Allah SWT merupakan cinta suci, murni, dan sempurna seperti disenandungkan dalam syair ini: Aku mencintaimu dengan dua cinta; cinta kerana diriku, dan cinta kerana diri-Mu. Cinta kerana diriku adalah keadaanku yang sentiasa mengingat-Mu yang mengungkapkan tabir, sehingga Engkau kulihat. Baik untuk ini, mahupun untuk itu, pujianku bukanlah bagiku; bagi-Mulah pujian untuk semuanya. Buah hatiku, hanya Engkaulah yang kukasihi, berilah keampunan pembuat dosa yang datang ke hadrat-Mu. Engkaulah harapanku, kebahagiaanku, dan kesenanganku, hatiku enggan mencintai selain Engkau.
Rabiah mencurahkan seluruh hidupnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kerana itu, dia memilih hidup zuhud agar bebas daripada segala rintangan dalam perjalanan menuju Tuhan. Dalam pandangannya, kenikmatan duniawi adalah hambatan menuju Tuhan.
Dia pernah memanjatkan doa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada segala perkara yang menyibukkanku sehingga aku tidak sempat menyembah-Mu dan daripada segala rintangan yang merenggangkan hubunganku dengan-Mu."
Perkahwinan baginya adalah rintangan. Dia menerima banyak lamaran untuk bernikah tetapi menolak kesemuanya. Mengenai cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dia berkata: "Aku cinta kepada Nabi SAW tetapi cintaku kepada Khalik (Maha Pencipta) memalingkan perhatianku daripada cinta kepada makhluk (segala ciptaan)."
Rabiah sang pencinta agung itu, mencintai Tuhan bukan kerana naluri kewanitaannya. Dia mencintai Tuhan dengan sepenuh jiwa kehambaanya. Dia mencintai zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Ia bertafakur, berzikir, juga suntuk memaknai segala sesuatu tentang Kekuasaan dan Kebesaran-Nya sehingga tidak ada ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Dia.
Rabiah merelakan dirinya menjadi 'gadis abadi'. Dia tidak ingin bernikah bukan lantaran tidak ada yang meminangnya, dia memilih 'kegadisan abadi' kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi.
Ketika Rabiah ditanya: "Kenapa engkau tidak bernikah, wahai Rabi'ah?" Dia menjawab: "Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih Sejati."
Rabiah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan, yang sulit untuk dijabarkan melalui pena, diungkapkan melalui pemahaman.
Dalam pandangan Rabiah, cinta pada galibnya adalah kehidupan spiritual, cinta berasal daripada Allah dan untuk Allah.
Terilham rasa kasih yang dalam akan nasib kaumnya, Rabiah cuba meluruskan pandangan 'ubudiyyah mereka dengan bait syair:
"Mereka menyembah-Mu hanya kerana takut akan neraka-Mu
Kemenangan dan keselamatan bagi mereka
Adalah apabila terbebas daripada (niat seperti) itu.
Bagiku, masalahnya bukanlah pada syurga atau neraka-Mu
Aku tidak rela (Kau) Tuhanku diganti sembahan yang lain."
Apa yang ingin ditegaskan Rabiah di sini adalah (bahawa) perilaku cintanya kepada Allah adalah tulus, jujur dan murni, demi dan untuk-Nya semata-mata tanpa kepentingan apa pun kecuali mengharap reda-Nya.
Rabiah tidak ingin seperti yang lain, yang meniatkan sembahannya untuk tujuan dan keinginan tertentu, terlebih menghindarkan diri daripada sesuatu.
Cinta Rabiah adalah cinta kepada zat-Nya, dan kerinduannya adalah rindu pada sifat-sifat-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud: …Barang siapa mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang solih, dan janganlah mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya. (al-Kahfi: 110)
Makna sufistik ayat di atas bagi Rabiah adalah, (bahawa) hendaknya seseorang jangan menyekutukan Allah dalam ibadahnya dengan berharap syurga-Nya atau agar terselamat dari neraka-Nya.
Seorang penulis riwayat hidup Rabiah yang berasal dari Parsi mengisahkan kematiannya sebagai berikut: "Pada masa menjelang akhir hayatnya, banyak sekali orang alim duduk mengelilinginya. Rabiah meminta kepada mereka, "Bangkit dan keluarlah, berikan jalan kepada pesuruh-pesuruh Allah Yang Maha Agung!"
Maka semua orang bangkit dan keluar dan pada saat mereka menutup pintu, mereka mendengar suara Rabiah mengucapkan kalimat syahadat dan mereka mendengar sebuah suara, "… Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu, berpuas-puaslah dengan-Nya. Maka masuklah bersama golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." (al-Fajr: 27-30)
Sesudah itu, tidak terdengar lagi suara apa pun. Pada ketika orang itu masuk kembali ke bilik itu, Rabiah sudah meninggalkan dunia fana. Sesudah Rabiah menghembuskan nafas terakhir, segera para doktor yang berdiri di hadapannya meminta agar jasad wanita sufi ini segera dimandikan. Setelah jenazah wanita sufi itu dimandi dan dikafankan, mereka bersama-sama melaksanakan solat jenazah dan mengkebumikan jasad itu di tempat yang dia akan berada di sana selama-lamanya
share dari link fb ~ Ustaz Iqbal Zain
KISAH RABIATUL ADAWIYAH (3)
(Srikandi Islam)
Sejak kecil lagi beliau telah dapat menghafaz Al Quran. Selain itu Al Quran juga menjadi penawar hatinya dan ubat bagi mengubati segala penyakitnya. Perangai Rabiah sangat berbeza dari adik beradiknya yang lain. Beliau sentiasa tenang dan tidak gopoh apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Bila waktu makan, beliau makan sedikit dan berhenti sebelum kenyang.
Rabiah selalu mengingatkan ayahnya supaya mengawasi dari memberi makanan yang syubhat lebih-lebih lagi yang haram kepadanya.
“Wahai ayah, lebih baik bersabar kerana lapar di dunia daripada bersabar terhadap azab Allah di akhirat.”
Dari keistimewaan yang terdapat padanya serta tingkah lakunya yang luar biasa sejak dari kecil itu, ternyata bahawa suatu hari nanti Rabiah Al Adawiyah akan menjadi salah seorang di antara kekasih-kekasih Allah. Bagaimanapun untuk mencapai darjat yang tinggi itu beliau terpaksa menghadapi berbagai ujian dan penderitaan hidup. Allah SWT tidak akan mengangkat darjat seseorang dengan semudah atau tanpa diuji terlebih dahulu.
Ujian pertama yang terpaksa ditempuhi ialah ayahnya meninggal dunia dalam usianya yang masih muda, ibunya pula menyusul tidak lama selepas itu. Ini membuatkan beliau terpaksa berpisah dengan adik beradiknya yang lain.
Tinggallah Rabiah yatim piatu dan sebatang-kara tanpa saudara mara tempat mengadu dan bergantung hidup. Ketika itu ia hidup penuh dengan linangan air mata dan kesedihan memanjang. Ini membuatkan dia sedar dan insaf bahawa ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk mengajarnya agar jangan bergantung dengan makhluk yang lain kecuali Allah. Allahlah tempat mengadu dan Allah jugalah yang menjadi hiburan dan tempat mengharap kasih sayang. Kini beliau menyerahkan dirinya bulat-bulat pada Allah.
Dalam keadaan demikian Rabiah telah bersua dengan seorang lelaki tua yang sedang bertasbih dan memuji Allah. Beliau menasihatkan Rabiah supaya bersabar kerana itu merupakan ujian Allah. Rabiah sentiasa diperlihatkan dengan mimpi-mimpi yang baik dalam tidurnya serta membuatkan beliau tenang dan sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran hidup.
Tidak berapa lama kemudian, bandar Basrah tempat tinggalnya telah dilanda musim kemarau yang sangat teruk dan berakhir dengan kebuluran dan kemusnahan. Ini membuatkan Rabiah terpaksa berhijrah ke tempat lain yang lebih selamat. Sewaktu menumpang dalam satu kafilah, tanpa disangka-sangka kafilah mereka telah diserang oleh perompak. Ketua perompak itu telah menangkap Rabiah untuk dijadikan barang rampasan dan beliau telah dijual di pasar sebagai hamba abdi.
Kini ia terikat dan berkhidmat pula dengan seorang tuan yang baru. Siang hari terpaksa bekerja kuat, membanting tulang empat keratnya mengangkat air, mengemas serta mengurus rumah. Namun begitu, walaupun keletihan, di malam hari, tetap digunakan untuk bermunajat dan beribadah kepada Allah. Dia sedar masa yang Allah kurniakan sangat berharga kepada hamba-hamba-Nya yang mahu berfikir.
Suatu hari, ketika beliau ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. Rabiah terpaksa lari menyelamatkan diri tetapi malang, kakinya telah tergelincir lalu jatuh. Tangannya patah lantas beliau berdoa kepada Allah: 
“Ya Allah, aku ini anak yatim lagi abdi. Sekarang tanganku pula patah. Sungguh aku tidak peduli itu semua asalkan Engkau redha padaku, dan tunjukkanlah akan keredhaanMu itu.”
Tiba-tiba dia terdengar satu bisikan menyuruh ia bersabar dan mengingatkan ia akan janji-janji Allah di akhirat kelak. Selepas peristiwa itu pergantungan hatinya dengan Allah semakin teguh. Segala pengalaman yang dilalui dalam menempuh hi¬dup ini yang penuh onak dan duri serta malapetaka dan bahaya menjadikan beliau seorang yang tahan diuji. Segala ujian yang ditimpakan itu semakin meneguh dan menguatkan keyakinannya terhadap Allah.
Pada suatu malam secara tidak sengaja tuannya telah terdengar suara rayuan dan munajat Rabiah kepada Allah. Dia bangun bertahajud di kala orang lain sedang enak tidur dibuai oleh mimpi-mimpi indah. Dengan penuh linangan air mata, Rabiah bercakap-cakap dengan Alllah, katanya: 
“Tuhanku, Engkau lebih mengetahui bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku akan habiskan seluruh masa malamku dan siangku dengan melakukan ibadat padaMu. Tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”
Tiba-tiba bilik Rabiah diterangi cahaya yang terang-benderang sedangkan dalam bilik itu tidak ada pelita atau lampu. Ini membuatkan tuannya sedar dan insaf akan kesalahannya kerana tidak membebaskan orang yang begitu hampir dan cinta kepada Allah.
Keesokan harinya, pergilah tuannya berjumpa dengan Rabiah dan memberitahu bahawa ia menyesal kerana memperhambakan Rabiah selama ini bahkan dia pula bersedia untuk menjadi hamba kepada Rabiah. Mendengar itu Rabiah merasa terharu. Dia lebih rela meninggalkan rumah itu dan mengasingkan diri dengan beruzlah serta bertaqarub kepada Allah.
Akhirnya, Rabiah Al Adawiyah kembali menumpukan sepenuh perhatian untuk beribadah dan memuji-muji Allah, mencurahkan harapan dan isi hatinya kepada Allah. Dia cintakan Allah sepenuh jiwa dan perasaan kerana dia dapat melihat Allah dengan ‘ainul basyirah’. Dia sedar hanya Allah sahaja yang layak dicintai dan dirindui serta dipuja dan hanya Allah yang mempunvai sifat-sifat yang lengkap untuk dipuji.
Berbagai karamah yang Allah kurniakan padanya dalam pengalaman kerohanian yang dilaluinya. Di antaranya, pada suatu ketika Hassan Al Basri mengajak Rabiah berbincang mengenai hal-hal kerohanian yang dilaluinya di atas air tasik. Beliau berkata begitu dengan niat hendak menunjukkan kelebihannya kepada orang lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa boleh berjaian di atas air). Rabiah Al Adawiyah berkata, 
“Hassan, buanglah perkara yang sia-sia itu jika kamu benar-benar hendak memisahkan diri dari perhimpunan aulia’ Allah. Kenapa kita tidak terbang saja di udara?”
Rabiah Al Adawiyah berkata sedemikian kerana dia boleh berbuat demikian dan itulah salah satu karamah yang Allah kurniakan kepada beliau tetapi Hassan tidak boleh berbuat seperti itu.
Rabiah berkata lagi, 
“Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan inikan aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara luar biasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah.”
Cintakan makhluk pada pendapat Rabiah Al Adawiyah tidak akan mewujudkan kebahagiaan yang abadi untuk seorang insan kerana ia tidak kekal. Cintakan makhluk seringkali membuatkan seseorang itu kecewa, merana, menderita dan terseksa. Oleh itu, tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada Pencipta makhluk itu sendiri. Bahkan Rabiah Al Adawiyah sentiasa menangis. Air matanya terlalu mudah tumpah walaupun kesalahan yang dilakukan tidaklah seberat mana, cuma lalai atau lupa pada Allah sedetik sahaja tetapi dirasakan terlalu besar dosanya.
Ada orang bertanya kenapa Rabiah Al Adawiyah mudah menangis? Rabiah menjawab, 
“Aku takut berpisah dengan Allah walau sedetik pun dan aku tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafasku yang terakhir, jauhkan dia dari-Ku kerana dia tidak layak berada di majlis-Ku.”
Kehidupan Rabiah Al Adawiyah terlalu miskin dan zuhud. Di dalam rumah beliau hanya terdapat sebuah balang yang mengandungi air minum dan wuduk, sebiji bata sebagai bantal dan sehelai tikar buruk sebagai alas tempat tidur. Melihatkan keadaan beliau yang terlalu dhaif, orang pun bertanya kepadanya, 
“Kenapa kamu hidup begini, sedangkan kamu mempunyai ramai teman yang hidup kaya raya dan mereka tentu boleh membantumu?”
Rabiah Al Adawiyah berkata, 
“Aku malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua memiliki segala-galanya. Bahkan aku lebih senang hidup dalam keadaan begini tanpa sibuk memikirkan soal-soal dunia yang bersifat sementara.”
Sungguhpun keadaan rumahnya begitu, ia tetap menjadi kunjungan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat dan secara tidak langsung merupakan sebuah sekolah untuk mempelajari “Al Hikmah” kerana orang ramai dapat menilai diri sendiri dari nasihat-nasihat beliau. Mereka juga datang untuk mempelajari ilmu-ilmu yang lain seperti feqah, tasawuf, ilmu jiwa dan lain-lain.
Antara doa Rabiah Al Adawiyah yang termasyhur ketika beliau bercakap-cakap dengan Tuhan dan tatkala merintih di waktu sunyi berbunyi: 
“Tuhanku, apa saja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat syurga atau neraka. Aku hendakkan pandangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada-Mu ialah sepanjang hayatku, berilah aku dapat mengingati-Mu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandang-Mu.”
Antara lain munajat Rabiatul Adawiyah ialah :
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
“Kekasihku, tidak menyamai kekasih lain biar bagaimanapun, Dalam hati tiada yang lain melainkan Dia, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan diriku tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu".
Seseorang bertanya kepadanya "Wahai Rabiah ,adakah kamu tidak mahu syurga dan tidak berlindung dari neraka?". Jawab Rabiah " Wahai Saudara, jangan salah faham, aku juga memohon syurga dan mohon perlindungan dari neraka seperti Rasulullah mohonkan, namun jika syurga dan neraka itu tidak diciptakan, bukankah Allah itu masih berhak disembah. Bukankah kita sebagai hamba-Nya wajib menyembah-Nya semata-mata walau disana tiada syurga dan neraka ?!"
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan