MENGADULAH HANYA PADA ALLAH!
Oleh Syeikh Nawawi Al-Bantani RahimahuLlah
"Orang yang pada pagi hari dalam keadaan bersedih kerana urusan duniawi dikatakan telah membenci Rabbnya, sebab hal ini mencerminkan bahawa dia tidak redha dengan qada' Allah, tidak bersabar atas cubaan-Nya, dan tidak beriman atas qadar-Nya, padahal semua yang terjadi di dunia ini adalah atas qadha' dan qadar Allah.
Melakukan syikayah (pengaduan) atas nasib buruk yang dialami seseorang kepada orang lain termasuk petanda tidak redha atas bahagian yang telah diberikan oleh Allah.
(Syikayah ertinya, meratap atau menceritakan nasib yang buruk dengan hati yang tidak rela akan pemberian Allah Subhanahu wa Ta'ala).
Kita tidak boleh melakukan syikayah, kecuali kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sebab syikayah kepada Allah termasuk bentuk du'a, sedangkan syikayah kepada manusia bererti merasa tidak redha akan pemberian Allah Subhanahu wa Ta'ala Hal ini.
Sebagaimana hadis Nabi Muhammad SallaLlahu 'Alaihi Wasallam yang diterima dari Abdullah bin Mas'ud RadhiyaLlahu 'Anhu, Baginda SallaLlahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
" 'Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa kalimah yang pernah diucapkan oleh Nabi Musa 'Alaihissalam ketika dia melalui lautan bersama Bani Israil?' Jawab kami (sahabat), 'Tentu saja, wahai Rasulullah'. Lantas Nabi bersabda, 'Bacalah:
اللّهمّ لك الحمد واليك المشتكى وانت المستعان ولاحول ولاقوّة الاّبالله العلى العظيم
Allahumma lakal hamdu wa ilaikal musytaka, wa antal musta'an, wa laa hawla wala quwwata illa biLlahil 'aliyyil 'adzim.
Ertinya:
Ya Allah segala puji bagi-Mu. Kepada Engkaulah aku mengadu, dan hanya Engkau yang bisa memberi pertolongan. Tiada daya (untuk menjauhi maksiat), dan tiada kekuatan (untuk taat), kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.'"
Seseorang dilarang memuliakan orang lain kerana hartanya, sebab menurut syari'at, seseorang hanya boleh memuliakan orang lain kerana kesolehan dan keilmuannya. Orang yang memuliakan harta di atas segala-galanya bererti telah menghina ilmu dan kesolehan.
Syeikh Abdul Qadir Jailani qaddasaLlahu sirrahu (semoga Allah mensucikan rahsianya) dalam pesannya telah mengatakan: "Setiap mu'min tidak boleh lepas dari tiga hal berikut:
1. melaksanakan perintah Allah;
2. menjauhi larangan Allah; dan
3. menerima qadha' dan qadar."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan