Siapa tak
kenal, kurma yang paling popular di Malaysia.. berjenama Yusuf Taiyoob, iaitu
bersempena dengan nama big big boss nya sendiri iaitu Datuk Yusuf Taiyoob.
Hari-hari asyik dengar iklan Yusuf Taiyoob di radio dan TV.. Kalau akhbar tu
xpayah cakap la.. siap full page lagi tu..
Yang
menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan
Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang
melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang
besar di satu sudut.
Nama Yusuf
Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan
kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina,
Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.
Oleh itu
tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung
daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang,
Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.
Kini
syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal
terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari
luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar
di seluruh negara.
Prinsip
utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau
bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui
pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.
“Saya
menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak
wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak
memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.
“Itu
menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil,
orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,”
kata bapa kepada tiga anak itu.
Yusuf yang
masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 50 tahun berkata,
selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan
lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan
rempah.
Beliau
kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal
dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini.
Walaupun
menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990,
beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan
jaminan produk berkualiti.
Yang
penting, menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk
bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar
kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka.
“Selain
itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan cepat lupa
diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan
setiap kali menjelang Ramadan.
Dalam
usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau
membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam
mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.
Teknologi
yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas
amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara
automatik jika berlaku kebocoran.
Ketika ini
kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira
7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira
3,000 tan barangan.
Syarikat
itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada
buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari
kira-kira 30 negara, antaranya Amerika Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan
Arab Saudi.
Bagi
memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan
menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan
tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.
Menceritakan
sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan
cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran
tidak berapa elok, namun beliau tidak panik.
Ini
menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak
menghadapi masalah sama pada masa akan datang.
“Keadaan
berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada awal
pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana ( Iran
), akhirnya saya terkena,” katanya.
Beliau
berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali
sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi
pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
Pada masa
ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia,
Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga
berpatutan.
Kurma
mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan
thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab
Saudi, Mesir dan Jordan.
“Dalam
menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang
elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah
saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami ialah kepuasan
pelanggan.
“Saya juga
memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh diganti dengan kurma
yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu daripada pengimport
terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan produknya diimport
dari lebih 30 negara.
Malah,
Ramadan ini beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas mendapat
banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September dan
Oktober.
Walaupun
sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk
memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.
“Kita kena
bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban
mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki
dikurniakan Tuhan,” katanya.
PROFIL
NAMA:Datuk
Yusuf Taiyoob
JAWATAN:Pengarah
Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
ASAL:
Georgetown , Pulau Pinang
UMUR:51
tahun
ISTERI:Datin
Yusnita Ramli
ANAK:Waseem
(9), Safiya (6) dan Safina (3)
ADIK-BERADIK:
Anak sulung daripada empat beradik
JENIS
PERNIAGAAN: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus
buah-buahan
Rupa-rupanya nama kurma adalah sempena dengan nama anak-anak beliau!!
wahhhh!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan