Selasa, 25 November 2014

Hati dan Seterika.

share dari link fb ~Tengku Ahmad Saufie

Hati dan Seterika.

Pagi tadi alfaqir terfikir ketika mengiron baju yang mana amat susah kedutannya itu hilang. Walaupun digosok dengan kuat, berulang-ulang, tetapi kedutannya masih tidak hilang. Seolah-olah kain itu sudah biasa dengan kedutan dan tidak mahu kehilangannya. 

Maka, alfaqir pun merenjiskan sedikit air untuk melembapkan pakaian. Alhamdulillah, hanya beberapa kali renjisan air, kedutan semakin hilang.

Bagaimana pula dengan hati manusia yang degil dari mengenal Allah? Ibaratnya seperti baju tadi yang amat sukar untuk dihilangkan kedutannya.

Walaupun manusia itu dibentang segala dalil tentang kewujudan dan keEsaan-Nya, tetapi apabila hati tertutup maka akan buta dari memandang kepadaNya.
Walaupun dinasihati, diberi peringatan, tetapi apabila hati tersebut ibarat kain dengan telah biasa dengan kedutan, maka segala panduan tidak akan memberi kesan kepadanya.

Disitulah bermulanya keperluan air dalam melembutkan hati manusia. Ketahuilah, bahawasanya air bagi hati manusia adalah orang-orang soleh, majlis zikrUllah, majlis ilmu dan berkhidmat kepada mereka.

Hati kita berkedut dengan hawa nafsu yang telah lama bersama kita. Maka kita tidak mampu untuk meluruskan hawa nafsu tanpa bantuan air tersebut, melainkan kita akan mendapati pakaian kita yang digosok berulang-ulang akan hangus terbakar kerana kepanasan.

Carilah orang soleh disekeliling kamu, dan dekatilah majlis mereka. Nescaya pakaian kita akan dapat digosok dengan mudah, iaitu dapat membentuk hati yang keras agar lembut dan merasai nikmat menjadi hamba Allah.

اللهم دلني على من يدلني إليك، وارزقنا نفحاتهم وبركاتهم في الدنيا والآخرة..أمين.
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan