SIAPA KITA, YANG BEGITU SUKAR MEMAAFKAN....
Wahai diriku, Mulakanlah langkah mencari bahagia dengan merasakan bahagia melihat kebahagiaan orang lain. Langkah pertama itu ialah MEMBERI MAAF.
Ah, terlalu sukar memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-iang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah ‘orang-orang bersalah’ itu terasa begitu menjengkilkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Cukup sakit, bila mengenangkan ‘musuh-musuh’ itu tersenyum dengan kemenangan.
Memaafkan orang lain, bererti memaafkan diri sendiri. Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya ‘syurga’ yang fana, sebelum syurga yang baqa.
Kita hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa kita yang kerdil dan kecil itu untuk terus berdendam?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan