Hidayah itu milik Allah
Sungguh, hidayah itu milik Allah. Hanya DIA yang berhak menganugerahkan hidayah itu kepada orang-orang yang DIA pilih. Tak semua orang bertuah. Kalau tidak, mesti semua orang di dunia ini jadi baik. Dan tiadalah sengketa dan permusuhan di dunia ni. Jadi, jangan bersedih bila kita pernah berusaha untuk ajak kawan-kawan atau ahli keluarga kita berubah ke arah lebih baik tetapi tidak mereka ikuti.
Allah telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
(Surah Al-Qasas : 56)
Sedangkan Rasulullah SAW pun tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang baginda sayangi. Ini menunjukkan hidayah itu hak mutlak Allah SWT. Cuma tugas kita ialah berusaha menyampaikan hidayah yang terkandung dalam Al-Quran. Sama ada mereka terima atau tidak, semua itu kerja Allah.
Jadi tersangatlah beruntung orang yang hatinya pernah disapa hidayah Allah. Gunakanlah peluang yang Allah berikan kepada kita dengan sebaik-baiknya. Dan hidupmu akan berubah, lebih baik dari sebelumnya. In Shaa Allah.
Hidayah ini tak akan datang bergolek. Hidayah Allah ibarat kunci yang hadir dariNya. Kunci kepada sebuah pintu kebaikan. Pintu tersebut hanya akan terbuka apabila orang tersebut berusaha untuk membukanya. Sekiranya tidak, maka pintu tersebut akan tertutup selama-lamanya walaupun kunci itu pernah berada di tangan kita.
Dan Allah telah berpesan dalam Al-Quran:
"Dan Allah menyeru (manusia) ke DarusSalam (syurga) dan memberikan petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus (Islam)."
(Surah Yunus : 25)
Agaknya sudah berapa kali kita dipilih untuk diberikan hidayah tapi entah sudah berapa kali pula kita menolaknya. Dan agaknya berapa kali lagi kita akan dipilih dan terus menolaknya? Itupun sekiranya Allah masih memberikan kita peluang untuk merasai nikmat hidayahNya. Bagaimana sekiranya hidayah itu tidak pernah kunjung tiba lagi? Andainya ini hidayah terakhir?
Tsabbit Qalbi Ya Rabb.
Mari beramal dengan doa ni.
"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan