Rabu, 27 Mei 2015

PERANAN HARTA TAHTA DAN WANITA DALAM SEBUAH KERAJAAN

share dari link fb ~ Warga Prihatin

PERANAN HARTA TAHTA DAN WANITA DALAM SEBUAH KERAJAAN

Telah termaktub dalam sejarah bahawa pola penyebab kejatuhan kepimpinan ataupun ketamadunan ialah apabila sembahan manusia hanya berlegar pada “3 TA” iaitu HARTA, TAKHTA & WANITA.

Dalam lipatan sejarah Ottoman contohnya, kewujudan Harem atau ISTANA WANITA (gundik) kepada khalifah telah menjadikan mereka semakin korup. 

Akhirnya kepimpinan dan perlantikan sultan berikutnya juga ada CAMPURTANGAN WANITA2 Harem di Topkapi. Perintah Allah yang mahukan rijal Qowwam ke atas Nisa' (QS:4/34 - lelaki pemimpin wanita) dilanggar. Kepimpinan akhirnya jadi lemah dan rebah. Itulah kesan KUASA WANITA yang telah menyebabkan kejatuhan seorang pemimpin. 

Nafsu besar dan pemborosan wanita juga menjadi punca masalah kepada pemimpin dari jenis yang ‘lemah lutut dengan wanita’. Untuk mendapatkan wanita dan memenuhi nafsunya, HARTA pula dijadikan elemen kedua yang dikejar sehingga sanggup berhutang. Akhirnya rakyat dicukai untuk melunas hutang. Inilah yang terjadi pada zaman Ottoman sehingga jadi asbab 'sistem khalifah' itu dimansuhkan.

PENYAKIT HUTANG, RIBA’ & WANG HARAM

Menjadi lumrah di mana selera manusia yang baru dapat wang yang banyak dengan cara mudah akan jadi kemaruk dan gelap mata. Otak jadi bengap dan hanya tahu berjoli dan bergembira sahaja. Samada wang mudah itu didapati dari rasuah atau hutang sama sahaja pola jolinya. Dunia ini seperti dia yang punya.

Bagi yang merembat harta negara, tanpa sedar rakyat akhirnya perasan lalu marah membara dan mencabut kuasa yang ada dengan paksa. 

Bagi yang joli dengan wang pinjaman pula, tahu-tahu saja sudah sampai masa untuk bayar semula sedangkan duit yang dipinjam sudah dibelanjakan tanpa berkira-kira. Lebih malang lagi jika pelaku memiliki isteri yang pemboros atau turut melahirkan keturunan yang bernafsu besar juga. 

Bila melibatkan pinjaman beriba', maka terjerat pula dengan bunga (gantinama yang indah untuk perkara sekotor "RIBA'"). Jerat hutang inilah punca utama kerajaan Ottoman rebah sehingga banyak wilayah-wilayahnya hilang. Akhirnya rakyat dipaksa membayar cukai yang tinggi sampai turun temurun untuk membayar hutang yang dibuat oleh pemimpin nenek moyang mereka. 

Perhatikan juga beberapa kisah berikut yang pernah berlaku sebelum kita. Semua pola cerita dan kesan akibatnya lebih kurang sama sahaja.

MARIE ANTOINETTE

Pemaisuri Raja Louis ke-14 hingga ke hari ini masih disebut sebagai ikon gaya hidup mewah yang penuh glamor. Pesta dan kenduri-kendara di Istana menjadi buah mulut warga Perancis.

Beliau boros membelanjakan dana negara untuk kenduri-kendara, berpoya-poya dan berpesta seperti tidak ada hari esok lagi. Semua ini berlaku ketika kaum tani Perancis kebuluran dan kelaparan. Gaya hidup boros beliau menjadi peluru untuk menyemarakkan gerakan tunjuk perasaan kaum tani yang hidup semakin dihimpit oleh tuan tanah dan kaum feudal.

Apabila dana negara kosong, Raja Louis mengenakan cukai pertanian yang menjerut leher kaum tani. Pada masa yang sama Marie Antoinette pula terus berbelanja tanpa henti – menempah pakaian dan membeli intan berlian ketika ramai petani mati kelaparan. 

Perangai dan kelakuan Marie Antoinette ini jadi pemangkin kemarahan kaum tani. Akhirnya Revolusi Perancis meledak dan menghapuskan sistem Raja pada 12 September 1792. Leher Permaisuri Marie Antoinette dipenggal pada 16 Oktober 1793 atas keputusan sebulat suara kaum tani.

EVITA PERON 

Selepas Perang Dunia Kedua, tercatat kisah Evita Peron di Amerika Latin. Minah ranggi ini pandai menyanyi dan berlakon. Beliau lahir tidak sah taraf dan terpaksa mengubah tarikh lahir 3 tahun lebih muda sebagai manipulasi mengesahkan taraf kelahirannya.

Janda berhias ini akhirnya berjaya menjadi isteri kedua Kolonel Juan Peron yang menjadi presiden Argentina pada tahun 1946 melalui rampasan kuasa. Apabila Juan Peron menjadi presiden, dengan serta merta Evita menggelarkan dirinya "First Lady of Argentina".

Evita amat popular dan berpengaruh dalam politik Peron sehingga mampu merembat harta negara. Pada tahun 1947 Evita ke Eropah kononnya untuk “lawatan resmi negara” namun dikatakan telah membuka akaun peribadinya bank di Switzerland.

Banyak kebencian dan kontroversi timbul dari Evita sampailah dia mati. Sewaktu mayatnya diawet dan dipamerkan kepada awam sementara monumen disiapkan untuk jenazahnya, Peron terpaksa lari ke luar negara akibat dari rampasan kuasa tentera 1955. Ketika itulah mayat Evita dilarikan tidak tahu ke mana dan menjadi misteri selama 16 tahun. Jenazahnya ditemui tertanam di Italy dalam keadaan tidak sempurna kerana telah di"rosakkan". 

Setelah mati, mayat Peron suami Evita juga dicincang rakyatnya. Tangannya dipotong dengan chainsaw dan dijadikan tebusan bernilai USD 8 juta.

IBU TIEN SUHARTO

Raden Ayu Siti Hartinah atau Ibu Tien adalah isteri kedua kepada Jeneral Suharto yang merampas kuasa pada tahun 1965. Rampasan kuasa yang ditaja oleh CIA ini mengorbankan hampir tiga juta warga Indonesia penyokong Bung Karno. Suharto memerintah Indonesia dengan kejam dan ganas. Setelah berkuasa pun ribuan warga Indonesia telah "dihilangkan". 

Ibu Tien juga menjadi "First Lady of Indonesia" yang amat berpengaruh. Media Indonesia dan luar negara banyak melaporkan tentang peranan Ibu Tien di belakang kuasa Jeneral Suharto. Beliau dipanggil "Ibu Ten Percent" kerana apa sahaja projek di Indonesia wajib membayar 'duit kopi' sebanyak 10 peratus kepadanya untuk mendapat kelulusan. 

Suharto Dikatakan menjadi orang terkaya di Asia. Isteri dan anak beranaknya, khususnya Tommy Suharto sentiasa beraja di mata dan bersultan di hati. Ramai bangsawan Tionghua dijadikan teman rapat untuk mengumpul harta dan berjoli. Semua kroni mendapat kekebalan politik dan diplomatik kerana kekerabatan dengan keluarga Suharto.

Atas kemarahan rakyat, maka Suharto dipaksa turun tahta pada 21 Mei 1998 melalui rusuhan besar-besaran yang dimulai dengan "Tragedi Tri Sakti".

IMELDA MARCOS

Kisah Mak janda ini hampir sama seperti Evita Peron. Beliau seorang bekas ratu cantik yang menjual tubuh kepada jantan-jantan yang berkuasa. Akhirnya Imelda menjadi isteri kepada Presiden Marcos – seorang diktator yang berkuasa di Filipina dari tahun 1965-1986.

"First Lady of Filipina" ini juga amat berpengaruh dalam kerajaan Marcos. Selama 20 tahun beliau merompak dan menjarah harta negara Filipina. Marcos pula sama seperti Suharto, dipelihara serta dibantu oleh CIA dan Amerika kononnya atas dasar perjuangan anti-komunis. Di zaman Marcos ratusan aktivis NGO dan antidiktator juga "hilang lesap" begitu saja. 

Selama 20 tahun Warga Filipina terpaksa berhadapan dengan kerenah dan perangai Imelda yang menunggang kuasa Marcos. Kenduri-kendara dan pesta kegemaran Imelda menjadi sebutan dunia hingga ke hari ini. Antaranya ialah festival filem yang dikatakan lebih glamor dari Festival Filem Cannes. 

Pada tahun 1986 semuanya berakhir. Berjuta-juta rakyat Filipina turun ke jalan raya menghalau dan menghambat kaum keluarga Marcos dari bumi Filipina. Muzium Marikina, ‘Sarang Sepatu’ yang menyimpan 3000 pasang sepatu Imelda Marcos adalah antara yang menjadi tinggalan sejarah kisah wanita pemboros ini. Nilai "barang kemas" Imelda yang dirampas kerajaan sahaja bernilai USD 365 juta.

LEILA BEN ALI

Leila Ben Ali asalnya hanya bekerja sebagai pendandan rambut, namun dengan licik berjaya mengahwini Zainal Abidin Ali yang merampas kuasa pada tahun 1987 untuk menjadi Presiden Tunisia.

Seperti wanita pemboros yang lain, beliau juga memaksa media Tunisia menggelarnya "First Lady of Tunisia". Untuk dilihat prihatin, beliau telah menubuh SAIDA, Badan Amal Melawan Barah. Melalui badan inilah dana negara disalurkan ke poket peribadinya. Beliau pernah dilaporkan menghantar sebuah pesawat khas terbang ke Selatan Perancis hanya untuk membeli aiskrim yang diminatinya.

Atas kemarahan rakyat, akhirnya pada 4 Januari 2011, seorang anak muda 26 tahun bernama Mohamed Bouazizi melakukan protes dengan membakar dirinya. Inilah permulaan kepada gerakan jalan raya di Tunisia yang menamatkan 22 tahun penguasaan Leila dan Zainal Abidin.

Ketika diburu oleh rakyat, Leila dan suaminya memecah masuk ke dalam Bank Negara Tunisia dan melarikan 60 kilo jongkong emas menuju ke Arab Saudi. Kerajaan baru Tunisia lalu menjatuhkan hukuman 35 tahun penjara kepada keduanya. Sehingga hari ini Interpol masih mencari Leila dan Zainal atas tuduhan membunuh dan melarikan dana negara.

KESIMPULAN

Marie Antoinette, Evita, Imelda, Ibu Tien, Leila dan ramai lagi semuanya telah dicampakkan ke dalam tong sampah sejarah. Selepas diporak-perandakan, negara-negara mereka kini sedang berusaha untuk pulih semula. Kisah ini juga sedang berulang di hadapan mata kita dan akan terus tercipta watak yang sama dari masa ke semasa.

Untuk mendapat harta bagi menampung nafsu yang besar, maka semuanya akan berperang dan saling memijak untuk memanjat takhta dengan cara apa sekalipun. Melalui fenomena membeli takhta, maka harta dan wanita pula terpaksa diguna. Bila sudah berjaya di puncak, maka kuasa itu pula akan digunakan untuk mengumpul semula harta.

Adakah pola begini sedang berlaku di sana sini sekarang? Jawab sahaja dalam hati sambil beristighfar banyak-banyak.... 

Ingat-ingatlah. Jika prosesnya sama, hasilnya mesti sama. Itulah KETETAPAN FITRAH ALLAH, samada untuk membangun makmur atau untuk jatuh tersungkur. Tempat, masa dan pelakunya mungkin berbeza, namun kesan parahnya tetap sama. 

Banyak kisah-kisah begini diceritakan dalam alQuran sebagai pelajaran buat kita. Malangnya kita hanya membaca sebagai dongeng kosong tanpa mampu mengambil iktibar darinya. Antaranya ialah takwil mimpi Nabi Yusof a.s yang mengarahkan umat ‘bersiap’ menghadapi kemarau 7 tahun.

Semuga kisah ini dapat direnung dan diambil pelajarannya sebelum semuanya terlambat. Berubahlah jika kita merasa sedang terlibat seperti kisah ini. Jangan terlambat sampai negara dan rakyat jadi ‘melarat’.

WARGA PRIHATIN
 

blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan