MENGAMALKAN ZIKIR DAN DOA TANPA IJAZAH
Soalan : Bolehkah kita mengamalkan sesuatu amalan zikir, doa-doa dan membaca surah-surah dari ayat aL-Quran tanpa berguru terlebih dahulu?
Jawapan:
Jika kita memahami bahasa Arab, dan doa itu adalah ma’thur (مأثور) maka tidak menjadi kesalahan. Kecuali jika seseorang ingin beramal dengan wirid-wirid yang tertentu, mengikut Tarikat tertentu maka hendaklah dia beriLtizam dengan Guru atau Syeikh.
Suka dinyatakan di sini berkenaan dengan pengijazahan, maka ia adalah lebih baik jika bersanad dan dalam pengamalan secara mengikut Tarikat tertentu tetapi berkenaan dengan zikir yang telah difahami dan dimaklumi maka bolehlah dia beramal seperti apa yang ditulis oleh aL-Syahid Hasan aL-Banna, ini kerana beliau sendiri mengambil daripada nas-nas yang masyhur. Sebagai contoh dinyatakan oleh penerbit pada permulaan bukunya, Risalah al-Ma’thurat karya aL-Ustaz Hasan aL-Banna adalah berdasarkan sumbernya daripada hadis-hadis aL-Jami’ aL-Soghir, aL-Jami’ aL-Sahih, aL-Sunan, Amal aL-Yaum wa aL-Lailah dan banyak lagi kitab-kitab yang muktabar. Justeru, kalau inilah maka hukumnya bolehlah kita berzikir dan beramal tanpa ijazah.
Penulis mengemukakan di sini dua dalil al-Quran yang menunjukkan martabat zikir dan suruhan berzikir. Firman ALLAH SWT:
إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّـهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّـهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya: "Sesungguhnya lelaki-lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki-lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki-lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki-lelaki dan perempuan yang benar, lelaki-lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki-lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki-lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki-lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki-lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki-lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) ALLAH, ALLAH telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.
(Surah aL-Ahzab: 35)
Dalam firman ALLAH SWT yang lain:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّـهَ ذِكْرًا كَثِيرًا ﴿٤١﴾ وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) ALLAH, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.
(Surah aL-Ahzab: 41- 42)
Akhukum Fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan