Selasa, 21 Julai 2015

CAMPURTANGAN MERTUA SECARA TIDAK BETUL ANTARA PUNCA KERETAKAN RUMAHTANGGA

share dari link fb ~ Warga Prihatin

CAMPURTANGAN MERTUA SECARA TIDAK BETUL ANTARA PUNCA KERETAKAN RUMAHTANGGA

Isu sosial ini ada kaitannya dengan filem "Ibu Mertuaku" yang amat dimaklumi umum. Ia melibatkan peranan hasad seorang ibu mertua yang menyebabkan rumahtangga anaknya hancur. Itu hanya sebuah drama filem yang berpandukan masalah sebenar dalam masyarakat yang sudah menjadi fenomena umum.

Apa yang dikisahkan dalam filem P Ramli itu melibatkan seorang suami yang lemah, pemalas dan dipandang hina serta disabotaj oleh ibu mertuanya. 

Kali ini kami juga ingin kongsikan kisah campurtangan ibubapa mertua terhadap keluarga anaknya. Namun kali ini ia melibatkan seorang menantu (suami anak perempuannya) yang tegas dan berprinsip, bukan jenis lembik dan mudah mengalah seperti Kasim Selamat.

Sebenarnya, seorang suami yang qowwam dan tegas memimpin tentunya memiliki strategi dan prinsip sendiri dalam menentukan hala tuju keluarganya. Suami begini ada ego tersendiri sebagai pengatur (murobbi) rumahtangga dan tidak suka ada pihak ketiga yang sesuka hati mengganggu kepimpinannya.

Dalam hal ini jika ada ibubapa mertua yang mahu campurtangan atau memberi saranan tentang prinsip kepimpinan rumahtangga menantu lelakinya, maka mereka harus berhati-hati. Mereka harus memahami terlebih dahulu falsafah dan strategi kepimpinan menantunya. 

Lebih penting lagi ibubapa mertua harus faham bahawa menantunya adalah wali yang sah dan berhak dalam hal ehwal rumahtangga anaknya. Jika ada saranan harus diajukan secara musyawarah dan kasih sayang. Jangan sekali-kali cuba untuk ‘memaksa’ agar saranan kita sebagai mertua diterima oleh menantu lelaki kita jika dia enggan.

Islam memberikan hak mutlak kepada seorang suami terhadap isteri dan seorang bapa sebagai wali terhadap anak-anaknya. Bapa kepada seorang 'wanita yang sudah berkahwin' tidak sekali-kali boleh campurtangan pengurusan rumahtangga menantu lelakinya dalam urusan dunia, selagi ia tidak melibatkan kemungkaran. 

Menjadi perkara biasa seorang datuk cuba mempengaruhi cucunya untuk bersekolah atau masuk universiti mana, mahu ambil jurusan apa, mahu bekerja di mana, mahu berniaga apa, bila masa mahu bernikah serta dengan siapa dan sebagainya. 

Sebenarnya jika menantu lelaki perintahkan isterinya (anak kita) yang berkelulusan tinggi untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa sekalipun, itu juga menjadi hak mutlak dia selagimana anak kita masih sah menjadi isterinya. Kita tiada hak untuk mencampuri keputusan menantu kita itu biar siapa pun kita, sekaya mana pun kita, sebesar mana pun pangkat kita.

Ada juga jenis mertua yang gilakan pangkat dan harta untuk tujuan berbangga-bangga dengan jiran tetangga dan kaum keluarganya. Mereka ini tergamak bersuara meminta agar menantunya beli kereta itu dan ini, berniaga itu dan ini, atau beli hartanah itu dan ini...

Menantu yang tidak berprinsip akan sanggup berhutang, tersungkur-sungkur hanya ingin menuruti selera mertua sebegini. Inilah menantu yang akan mendapat perhatian dan pujian, terutama ketika berkumpul di musim perayaan begini. Sesungguhnya tabiat begini amat merimaskan bagi seorang menantu yang 'berprinsip'.

KESIMPULAN

QULHUALLAHUAHAD. WAWALIDIWWAMAWALAD. Allah mengajar seorang hamba agar mengabdikan diri dalam mematuhi HANYA SATU PENGATUR sahaja dalam hidupnya. 

Seorang bapa telah Allah wakilkan secara alami (ATURAN ALAM) untuk dipatuhi oleh isteri dan anak-anaknya. Bapa yang QOWWAM dan BERILMU akan insyaAllah mampu mendidik anak-anaknya tentang apa dan siapa yang patut mereka patuhi sebagai anak yang SOLEH. 

Tidak semudah itu untuk datuk dan nenek mereka memintas kepatuhan anak-anak yang terdidik oleh seorang bapa yang tegas dan teliti begini terhadap bapa kandungnya sendiri. Tambahan pula jika si datuk jelas dilihat oleh cucunya sebagai orang yang jahil dan sentiasa dipengaruhi nafsu.

Oleh itu jangan sesekali datuk dan nenek cuba untuk meracuni kepatuhan seorang cucu terhadap bapanya sendiri. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat tercela dan keji. Apatahlagi jika ia dilakukan dalam bentuk hasutan dengan memburuk-burukan bapanya secara waswis (cakap belakang). 

Anak yang terdidik kepatuhannya akan merujuk apa sahaja saranan datuknya kepada ayahnya. Seorang menantu yang berprinsip pula akan hilang hormat apabila mendapat tahu mertuanya melakukan semua ini terhadap anak kandungnya secara cakap belakang (was wis). 

Menantu lelaki ada hak mutlak terhadap anak perempuan kita. Segala kebaikan terhadap kita oleh anak perempuan dan cucu kita adalah atas ikhsan dan restu menantu lelaki kita juga. Tanpa restunya, anak perempuan kita pun tidak boleh balik ke rumah menjenguk kita.

Sebenarnya dalam musim perayaan beginipun, harus diingat bahawa kesudian menantu kita untuk membawa pulang cucu dan anak perempuan kita beraya bersama kita pun sudah seribu rahmat. Itu sewajarnya disyukuri agar nikmat itu beliau tambah lagi dan lagi. Sekurang-kurangnya akan lebih kerap dibawanya anak cucu menziarahi kita. Jika kita tidak mensyukuri nikmat itu, kelak mungkin timbul masalah yang menyiksakan batin..

Kerana itu kita seharusnya berterima kasih dan mensyukuri hubungan baik menantu lelaki kita terhadap kita. Jangan sekali-kali kita ambil kesempatan untuk ‘demand’ lebih dari apa yang selayaknya. Apatahlagi untuk mengkhianati kepimpinan menantu kita dengan menghasut cucu kita agar mengingkari bapanya, kerana itu boleh menyebabkan kita kehilangan segala-galanya.

Atas sebab itulah Islam mengajarkan agar kita menjadikan menantu lelaki kita sebagai 'sahabat karib' dengan ikhlas dan berkasih sayang. Itu sahaja pendekatan yang menjamin kita untuk mendapat kasih sayang dan santunan yang sempurna dari anak dan cucu kita. 

Kita dapat lihat sunnah begini bilamana Nabi SAW mengutamakan calun menantu dan mertuanya juga dari kalangan sahabat baginda sendiri.

Jika tidak kena gayanya dalam menyantuni menantu lelaki, mungkin timbul badai rumahtangga. Ketika itu menantu lelaki kita mungkin akan menyekat hubungan cucu dan anak perempuan kita. Waktu itulah ibubapa mertua kehilangan kasih sayang dan rasa hormat dari menantu dan anak cucunya sendiri secara total.

Semuga tips ini bermanfaat untuk mengelakkan badai rumahtangga yang semakin melarat akibat dari kejahilan mertua terhadap menantu lelaki.

Kudap munakahat,
WARGA PRIHATIN
 

blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan