Isnin, 6 Julai 2015

KEDUDUKAN MIMPI DALAM ISLAM

share dari link fb ~ Ustaz Iqbal Zain
KEDUDUKAN MIMPI DALAM ISLAM
Dalam Islam, mimpi mempunyai kedudukan yang tinggi. Para Nabi mendapatkan wahyu dari Allah, salah satunya melalui mimpi.Setelah kenabian tamat, Nabi shallallahu alaihi wasallam telah menjadikannya sebagai isyarat akan datangnya khabar gembira keatas kaum muslimin.
Hanyasanya mimpi selain dari yang diperolehi Nabi adalah TIDAK BOLEH digunakan sebagai dalil syariat, NAMUN ia boleh digunakan sebagai pembawa khabar gembira dan pemangkin untuk seseorang itu terus beramal dan bertaqarrub kepada Allah.
Bahkan dalam hadits yang lain beliau (shallallahu alaihi wasallam) telah bersabda:
الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ الرَّجُلِ الصَّالِحِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ
“Mimpi baik yang berasal dari seorang yang saleh adalah satu bahagian dari 46 juzuk kenabian.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahwa beliau bersabda:
لَمْ يَبْقَ مِنْ النُّبُوَّةِ إِلَّا الْمُبَشِّرَاتُ قَالُوا وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ قَالَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ
“Kenabian tidak ada lagi melainkan yang tinggal ialah berita-berita gembira.” Para sahabat bertanya, “Apa yang di maksud dengan khabar-khabar gembira?” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Mimpi yang baik.” (HR. Al-Bukhari no. 6990)
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh seorang sahabat yang bernama Al-Harith bin Rabi'I atau dikenali dengan gelaran Abu Qatadah Al-Ansori ra menyebut bahawa beliau mendengar rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “Ar-ru’yah (mimpi yang benar) itu daripada Allah manakala Al-hulmu (mimpi yang karut) itu daripada syaitan. Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi tentang sesuatu yang dibenci maka ludahlah ke kirinya sambil meminta perlindungan Allah daripada syaitan maka nescaya mimpi itu tidak akan memudharatkannya. (hadith riwayat Bukhari no. 6603)
Mimpi yang diperolehi oleh seseorang hendaklah tidak boleh didustakan terus dan juga tidak wajib pula untuk mempercayainya. Para ulama menyebut bahawa mimpi itu dinilai berdasarkan keperibadian seseorang yang bermaksud jika orang yang bermimpi itu ialah orang yang soleh dan dipercayai maka mimpinya itu juga boleh dipercayai tetapi jika yang bermimpi itu ialah seorang yang fasik dan ahli maksiat maka mimpinya adalah dusta dan tidak boleh dipercayai.
Dari Abu Hurairah, dari Nabi Muhammad beliau telah bersabda, “Apabila hari kiamat sudah dekat, maka jarang mimpi seorang muslim yang tidak benar dan orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar bicaranya. (Sahih Muslim)
Dari hadis ini, dapat diketahui bahawa menjelang akhir zaman kebanyakan mimpi orang mukmin adalah benar, dan yang paling benar mimpinya ialah yang paling jujur dan amanah dalam ucapannya.
Mimpi itu sendiri terbagi menjadi tiga bahagian, yaitu:
1) Mimpi yang baik adalah berita gembira dari Allah.
2) Mimpi yang menyedihkan adalah dari syaitan.
3) Mimpi dari bisikan (angan-angan) dari diri sendiri.
Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah ra yang berkata bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwassalam yang bermaksud : “ Mimpi itu ada tiga bahagian iaitu berita atau khabar gembira dari Allah , apa yang berlaku dalam hidup seharian dan mimpi buruk yang menakutkan dari syaitan.” (hadith riwayat Ahmad)
Berkenaan dengan mimpi juga maka sebahagian dari kalangan ulama ahli sunnah wal jamaah berpendapat bahawa arwah orang yang telah meninggal dunia boleh mendatangi ahli keluarga atau sahabat handainya di dalam mimpi khususnya kepada orang yang soleh dan bertaqwa. Antaranya seperti yang disebut oleh Imam Al-Qurtubi ra dalam tafsirnya bahawa Ibn Abbas ra dan Said bin Jubair ra berpendapat bahawa arwah orang yang mati dapat bertemu di dalam mimpi dan saling berkenalan.
Diriwayatkan oleh Imam Hafiz Abi Nuaim ra dalam kitabnya Hilyah al-Awliya' wa Tabaqat al-Asfiya' bahawa dua orang sahabat nabi Salman al-Farisi ra dan Abdullah bin Salam ra pernah berkawan baik dan mereka membuat satu perjanjian sewaktu hidup. Iaitu jika salah seorang daripada mereka itu mati maka hendaklah yang mati itu menziarahi orang yang hidup di dalam mimpi dan memberitahu tentang khabarnya apa yang telah dia temui. Maka tidak lama selepas itu Salman pun meninggal dunia dan Abdullah bin Salam ra pun bermimpi menemui Salman dan bertanya kepadanya apakah khabarmu wahai Aba Abdullah ? Lalu dijawab oleh Salman dengan berkata keadaanku amat baik. Lalu ditanyakan kepadanya apakah amalan yang engkau dapati paling afdhal dan membantumu di hadapan Allah lalu dijawab oleh Salman dengan mengatakan bahawa aku mendapati tawakal ialah amalan yang paling ajaib dan besar kedudukannya di sisi Allah !
Sabda Rasulullah saw : Barangsiapa yg melihat aku dalam mimpi maka sungguh ia telah melihatku, dan tiadalah syaitan boleh menyerupaiku (Sahih Bukhari)
Sabda Rasul saw : Barangsiapa yg jumpa denganku dalam mimpi dia akan jumpa denganku dalam keadaan jaga (Sahih Bukhari)
Perbanyakkanlah selawat dan perbanyaklah mengamalkan dan mencintai sunnah dan mengajarkan orang yang lemah iman kepada taubat, anda akan banyak bermimpi Rasul saw.
Insya Allah jika Allah swt mengizinkan kalian bermimpi Rasul SAW , janganlah lupakan sampaikan salam kerinduan saya yang hina ini kepada Baginda SAW.
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan