KEHARUSAN ZIKIR SAMBIL MENARI
Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah ‘Ali-‘Imran ayat 191).
Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya. Allamah al-Alusi (rah) dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini dijelaskan dengan sebuah riwayat oleh Ibnu Umar, Abdullah bin Zubair dan lain-lain bahawa suatu hari mereka keluar ketempat solat raya. Sampai disana mereka mula berzikir kepada Alah, tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata "Bukankah Allah berfirman 'dan mereka mengingati Allah ketika berdiri dan duduk...". Maka mereka semua bangkit dari tempat duduk masing-masing dan mula berzikir dengan berdiri untuk mengambil berkat dengan mengamalkan ayat al-Quran tersebut.
Sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya dan al-Hafiz al-Maqdisi dengan rijal sahih, daripada hadis Anas Radiallahu Ta’ala Anhu telah berkata ; Adalah orang Habsyah menari di hadapan Rasulullah SAW dan sambil mereka berkata "Muhammad hamba yang soleh".
Bertanya Rasulullah SAW: Apa yang mereka katakan? maka dikatakan kepada Rasulullah sesungguhnya mereka berkata "Muhammad hamba yang soleh".
Ketikamana Rasulullah SAW melihat mereka dalam keadaan itu Nabi SAW tidak mengingkari mereka dan membenarkan perkara tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan hadis taqriri atau sunnah taqririyyah sepertimana diistilahkan oleh ulamak hadis seperti Al-Imam Nawawi dan dinaqalkan oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani R.A.;
ما أضيف إلى النبي صلى الله عليه وسلم من قول أو فعل أو تقرير
Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan atau perbuatan atau pengakuan
Latar belakang kepada hadis diatas seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari(949), Muslim(2062), Ibnu Hibban (5870) ialah orang-orang Habsyah mengadakan persembahan tarian kebudayaan mereka didalam masjid Nabawi sambil mendendangkan qasidah memuji Rasulullah SAW "Muhammad hamba yang soleh". Mereka saling bermain lemparan tombak dalam persembahan tarian tersebut. Saidatina Aishah RA ingin sekali melihat persembahan tersebut maka Rasulullah SAW telah mengangkat Saidatina Aishah diatas bahunya supaya S.Aishah dapat melihat dari jauh lantaran ramai para sahabat lelaki dihadapan yang menyaksikan sama persembahan tersebut.
Sesuatu yang Nabi tidak larang maka ia kekal HARUS kerana jika ia sesuatu yang mungkar pasti Nabi akan melarangnya kerana Nabi SAW tidak akan redha dengan maksiat dan kemungkaran yang dilakukan oleh umat baginda dan inilah sebab Nabi dan Rasul diutuskan untuk menjelaskan apa yang betul dan apa yang salah di sisi syara’.
Hadis di atas menjadi dalil di atas keharusan berzikir dan memuji Rasulullah SAW dalam keadaan menari dan mengerakkan tubuh. Berzikir dalam keadaan menari atau menggerakkan tubuh tidak termasuk daripada tarian yang haram kerana ada dalil yang membenarkannya. Bahkan ia HARUS kerana boleh mencergaskan badan dan boleh membantu untuk menghadirkan hati mengingati Allah.
Oleh itu, niat dan tujuannya betul kerana kaedah menyebut
الأمور بمقاصدها
“setiap perkara itu mengikut tujuannya” Adapun jika niat dan tujuannya baik tetapi caranya diharamkan oleh Allah maka ia tetap haram tetapi dalam masalah ini ada nas yang membenarkan zikir sambil menggerakkan badan dan menari seperti yang telah dinyatakan di atas dan tujuannya juga baik maka ia kekal sebagai HARUS di sisi syara’.
Sebuah hadis sahih yang dilaporkan oleh Ahmad(3/68) dan al-Hakim(1/499) bahawa Saidatina Aishah RA mengatakan Rasulullah SAW bersabda "Hendaklah kamu berzikir sehingga manusia menyangka kamu gila".
Dalam hadis yang lain beliau mengatakan bahawa "Rasulullah SAW sentiasa berzikir kepada Allah setiap masa dan keadaan".
Mufti As-Saadah As-Syafiiyyah di Makkah, Al-Allamah Al-Kabir Ahmad Zaini Dahlan Rahimahullah menyebut di dalam kitabnya yang masyhur iaitu As-Sirah An-Nabawiyyah wal Aasar Al-Muhammadiyyah hadis yang dirawayatkan oleh Imam Bukhari di dalam sahihnya pada (كتاب الصلح ) : Selepas pembukaan Khaibar telah kembali daripada Habsyah Ja’far Bin Abi Tolib R.A dan bersamanya daripada kalangan muslimin. Bilangan mereka 16 orang lelaki dan Nabi SAW menemui Ja’faar dan mengucup dahinya dan memeluknya.
Rasulullah berdiri kepada Sofwan bin Umayyah dan ‘ Udayy bin Hatim Radiallahu ‘Anhuma dan Rasulullah SAW bersabda : Aku tidak tahu dengan dua sebab aku gembira samada sebab fathu khaibar ataupun dengan kepulangan Ja’faar? Dan bersabada Nabi SAW kepada Ja’faar : Kamu menyerupai kejadianku dan akhlakku. Maka Ja’far menari dengan kelazatan perkataan Nabi SAW kepadanya. Nabi tidak mengingkari perbuatan menari-nari Ja’afar Bin Abi Tolib itu.
Inilah yang menjadi dalil asas kepada golongan sufi ketikamana mereka mendapat kelazatan wijdan(keghairahan kerohanian) di dalam majlis zikir dan mereka menari-nari dengan asbab wijdan yang dicampakkan ke dalam hati-hati mereka ketika mengingati Allah.
Perasaan seronok dan lazat berzikir itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka. Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.
Saidina Ali menyifatkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW tika brzikir.Katanya:
"Maka apabila datang waktu pagi maka mereka (sahabat Rasulullah SAW) berzikir pd Allah SWT bergoyanglah tubuh mereka seperti bergoyangnya pokok yang ditiup angin dan brhamburan air mata mereka hingga basah pakaian mereka"
(Imam Ibnu Kathir dalam Kitab Bidayah Wan Nihayah dan Syeikh Yusuf Kandahlawi dalam Hayatus Sahabah)
Telah sah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.
Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.
Ditanya al-Allamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.
Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”
Kata Syeikh Ahmad al-Burrulisi ('Umairah) rahimahullah [w.957 H]:
قَوْلُ الْمَتْنِ: (لَا الرَّقْصُ) قَالَ ابْنُ أَبِي الدَّمِ لَوْ رَفَعَ رِجْلًا وَقَعَدَ عَلَى الْأُخْرَى فَرَحًا بِنِعْمَةِ اللَّهِ تَعَالَى عَلَيْهِ إذَا هَاجَ بِهِ شَيْءٌ أَخْرَجَهُ وَأَزْعَجَهُ عَنْ مَكَانَهُ، فَوَثَبَ مِرَارًا مِنْ غَيْرِ مُرَاعَاةِ تَزَيُّنٍ فَلَا بَأْسَ بِهِ.
Maksudnya "Lafaz dari teks (Tidak Haram juga Tarian الرقص) kata Ibnu Abi ad-Dam: Jika seseorang mengangkat sebelah kaki dan duduk atas kaki yang sebelah lagi kerana gembira dengan nikmat ALLAH Ta'ala ketika mana datang sesuatu yang mengujakannya sehingga mengeluarkan dia dari kedudukan asalnya lalu dia melompat berkali-kali tanpa meraikan bentuk gerakan tertentu maka tidak mengapa". (Hasyiah Qalyubi)
Kata al-Imam al-Nawawi rahimahullah dalam al-Raudah (11/229):
وَالرَّقْصُ لَيْسَ بِحَرَامٍ.
Maksudnya: "dan الرقص menari tidaklah haram".
Mungkin ada yang menganggap berzikir dengan menari adalah suatu yang pelik. Namun perlu diketahui bahawa bukan semua pelik itu salah. Pelik atau tidak bukan persoalannya. Persoalannya boleh atau tidak? Ia perlu dikembalikan kepada kaedah dan usul feqah.
Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah yang mengharamkannya, berbaliklah kepada hukum feqah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”
Walhasil, amalan berzikir sambil menari itu sendiri tidak diharamkan kecuali jika ada unsur dari luar yang boleh menyebabkan ia tidak dibenarkan seperti percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sebagainya.
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan