share dari link fb ~ Ustaz Iqbal Zain
KISAH AHMAD BIN HARUN AR-RASYID
(Putera Raja Yang Meninggalkan Kemewahan)
Ahmad adalah salah seorang putera Khalifah Harun ar-Rasyid yang sangat berbeza pendiriannya daripada putera-puteranya yang lain. Dia lebih suka berzikir kepada Allah Subhanahu wata’ala daripada membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan melalaikan.
Di antara kata-kata masyhur yang pernah diluahkannya: “Wahai ahli kubur! Engkau adalah orang yang telah mendahului kami menghadapi Allah Subhanahu wata’ala. Aku tahu bahawa engkau adalah orang yang pernah memiliki dan menakluki dunia ini semasa hidupmu, tapi aku tidak nampak dunia ini dapat menyelamatkan engkau daripada ajal dan akhirnya engkau dihalau juga ke kubur, begitulah juga nasibku, sama seperti engkau.”
Pada suatu hari Ahmad datang kepada ayahandanya, Khalifah Harun ar-Rasyid yang sedang berada di majlis rasmi bersama para menteri. Seperti biasa dia memakai jubah sufi daripada kain kasar dan di kepalanya pula terlilit serban yang sudah lusuh. Beberapa orang menteri merasa tidak senang dengan kehadirannya dan melaporkan perkara itu kepada khalifah.
Khalifah pada mulanya tidak begitu mengambil kisah akan keadaan anaknya itu tetapi bila laporan dibuat, khalifah terpaksa bertindak dengan berkata:
“Wahai anakku! Pakaian dan keadaan dirimu itu menyinggung perasaanku di hadapan pembesar negara, pakailah pakaian yang elok dan bersopan.”
Ahmad yang memang terdidik sejak kecil lagi tidak menjawab dan menyanggah perkataan ayahandanya, sebaliknya memandang ke bumbung istana, melihat seekor burung sedang bertenggek di atas salah satu palang istana seraya berkata:
“Wahai burung, demi Allah yang menjadikan engkau, sila ke mari!” Kata Ahmad sambil menghulurkan tapak tangannya. Burung itu pun terbang dan hinggap di tangannya.
Kemudian Ahmad berkata kepada burung itu: “Wahai burung, sila engkau balik semula ke tempatmu.” Ketika itu juga burung tersebut terbang semula ke atas palang bumbung istana.
Kejadian yang dianggap ajaib ini membuatkan orang yang hadir termasuk khalifah menjadi hairan. Namun beliau sedar bahawa puteranya yang satu ini memang mempunyai maqam yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wata’ala.
Selepas itu Ahmad berkata kepada khalifah: “Wahai ayahanda! Hulurkan tangan ayahanda.” Khalifah Harun ar-Rasyid terkejut mendengar pemintaan anaknya itu. Bagaimanapun secara spontan Kalifah Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya.
Kemudian Ahmad mengarah lagi: “Wahai burung! Demi Allah yang telah menjadikan engkau, silalah engkau hinggap di tangan khalifah.”
Burung itu tidak mahu menurut perintahnya. Khalifah menjadi gelisah dan serba salah apatah lagi semua mata tertumpu ke arahnya. Para hadirin berbisik sesama sendiri membuat pelbagai andaian mengapa burung itu tidak mahu hinggap di tangan Khalifah Harun ar-Rasyid.
Kemudian Ahmad berkata lagi kepada ayahandanya: “Ayahanda, jangan sampai ayahanda mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia sehingga burung pun tak mahu mendekati ayahanda. Kalau ayahanda merasa malu disebabkan saya berada di sini, baiklah saya keluar dari istana ini.”
Khalifah berusaha menghalang maksud anaknya, namun Ahmad tetap dengan pendiriannya. Khalifah pasrah dengan keputusan anaknya itu. Maka keluarlah putera ini meninggalkan bapanya dan segala kemewahan menuju ke Basrah. Dia tidak membawa apa-apa bekalan selain daripada sebuah Mushaf al-Qur’an dan sebentuk cincin di jari pemberian ibunya. Cincin itu asalnya adalah milik Khalifah Harun ar-Rasyid yang dihadiahkan kepada isterinya.
Di Basrah, sedang Ahmad mundar-mandir di tempat kerja mengorek tanah, tiba-tiba beliau disapa oleh Syeikh Abdullah ibnu Farad, seorang bangsawan di situ.
“Wahai anak muda, adakah engkau mencari kerja?” tanya orang kaya ini.
“Ya, saya sedang mencari kerja untuk menampung keperluan hidup”, sahut Ahmad.
“Kalau begitu, kerjalah dengan saya kerana kebetulan saya sangat memerlukan pekerja untuk menyiapkan pembinaan rumah dan parit.”
“Wahai orang kaya, saya setuju tetapi ada dua syarat sebelum saya memulakan kerja”, ujar Ahmad.
“Apa syaratnya?” Pintas Syeikh Abdullah.
“Pertama, saya mahu diupah hanya untuk keperluan makan saja, dan yang kedua, tuan mengizinkan saya sembahyang setiap kali masuk waktu.” Kata Ahmad.
Setelah keduanya bersetuju maka bekerjalah anak muda ini dengan rajin dan tekun serta tidak mencuri tulang. Apabila masuk waktu, dia berhenti dan menunaikan sembahyang, kemudian menyambung kerjanya semula.
Pada hari itu apabila Syeikh Abdullah datang kembali ke tempat kerjanya, alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati hasil kerja putera Ahmad ini sama dengan kerja yang dibuat oleh sepuluh orang. Oleh kerana itu Syeikh Abdullah merasa tidak patut upahnya dibayar seperti yang dimintanya. Maka beliau pun menghulurkan dua dirham kepada Ahmad.
“Tuan, mengapa upah saya ditambah menjadi dua dirham?” Tanya Ahmad.
“Engkau seorang yang rajin, hasil kerjamu sama seperti pekerjaan yang dibuat oleh sepuluh orang, adalah zalim sekiranya saya membayar upahmu hanya untuk keperluan makanmu saja.” Jawab Sheikh Abdullah.
“Tidak boleh tuan, kita sudah berjanji dengan upah satu perpuluhan enam dirham, tidak boleh lebih, sila ambil bakinya”, katanya tegas.
Syeikh Abdullah bertambah hairan, baru sekarang dia berjumpa dengan pekerja yang tidak mahu dibayar lebih, walaupun kerjanya sangat banyak. Beliau merasakan rezekinya semakin bertambah dengan adanya pekerja seperti anak muda ini yang tidak tahu penat lelah. Setiap pekerjaan yang diamanahkannya dapat diselesaikan dalam jangka waktu yang singkat.
Pada suatu hari, Abdullah cuba mengintai bagaimana Ahmad melakukan pekerjaannya. Abdullah bersembunyi-sembunyi mengintip, apa yang dilihatnya amat memeranjatkan. Ahmad hanya duduk disatu tempat membaca al-Quran dan batu-batu sendiri berterbangan tersusun ditempatnya sehingga terbina bangunan. Baru Abdullah mengetahui mengapa hasil pekerjaannya begitu pantas sekali. Dan fahamlah Abdullah bahawa anak muda ini adalah seorang wali Allah.
Sehinggalah setelah beberapa lama bekerja, tiba-tiba pada suatu hari Ahmad tidak datang bekerja menyebabkan Syeikh Abdullah tertanya-tanya, mungkinkah beliau berhalangan atau sakit. Setelah masuk hari kedua Ahmad masih juga tidak muncul, maka Syeikh Abdullah mengambil keputusan mencarinya sendiri.
Setelah mendapat maklumat daripada orang ramai, akhirnya beliau dapati anak muda itu sedang sakit terlantar di pondok buruknya. Syeikh Abdullah sangat terkejut kerana tempat tinggalnya hanyalah pondok yang tidak berpintu serta beliau tidur hanya beralaskan pecahan batu bata. Beliau kelihatannya sangat lemah tidak bermaya dan tenat.
Setelah memberi salam, Syeikh Abdullah mengangkat kepala anak muda itu dan diletakkan ke ribanya. Apabila mengetahui bahawa yang datang itu adalah Syeikh Abdullah iaitu majikannya, Ahmad kuatkan dirinya dan berkata :
“Tuan sungguh baik hati! Tuan mengambil berat tentang diri saya. Ketahuilah, tuan akan ditanya di akhirat nanti, apa tanggungjawab tuan kepada saya. Tuan, janganlah mudah tertipu oleh nikmat dunia, ingatlah nikmat itu akan habis, umur pun akan berakhir. Jika tuan mengusung mayat saudara tuan ke kubur, ingatlah tuan juga akan diusung ke sana suatu hari nanti.”
Suasana sedih itu membuatkah Syeikh Abdullah menitiskan air mata. Nasihat daripada anak muda ini sedikit sebanyak menyedarkan dirinya bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui mati.
“Tuan, mahukah tuan berjanji jika roh saya telah berpisah daripada tubuh, hendaklah tuan sendiri yang memandikannya, tuan kafankan mayat saya dengan jubah yang saya pakai ini?” Sambungnya lagi.
“Ya, saya berjanji, tapi kenapa aku tidak boleh kafan mayatmu dengan kain kafan yang baru?” Ujar Syeikh Abdullah yang tidak dapat menahan esak tangisnya.
“Tuan, ketahuilah, orang yang masih hidup lebih memerlukan pada yang baru daripada orang yang sudah mati. Pakaian akan hancur sedangkan amal akan kekal selamanya”, katanya yang semakin tenat.
Di dalam suanana pilu itu anak muda ini sempat berkata: “Tuan, ambillah bungkusan dan serban ini untuk diberikan kepada tukang gali kubur. Mushaf dan cincin ini tolong sampaikan kepada pemerintah, Khalifah Harun ar-Rasyid.”
Sampai di sini airmata Syeikh Abdullah tidak dapat dibendung lagi, kerana sangat terharu mendengar wasiat anak muda ini yang sudah hampir ajalnya menghadap Allah Subhanahu wata’ala itu. Namun untuk memudahkan beliau menerima wasiat itu, ditunjukkan wajahnya yang gembira.
Anak muda itu melanjutkan wasiatnya: “Saya mohon disampaikan barang ini dengan tanganmu sendiri, jangan melalui perantaraan orang lain. Katakan kepada Amirul Mukminin: “Wahai Amirul Mukminin, ini ada amanah daripada seorang lelaki muda yang tidak saya kenali dan disuruh sampaikan kepada tuan. Anak muda itu berpesan kepada Amirul Mukminin: “Jangan sampai engkau mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia.”
Sebaik saja anak muda ini berkata sedemikian, rohnya pun melayang dicabut malaikat dan pergilah anak muda ini menemui Tuhannya yang dirindui selama ini.
Setelah menyempurnakan mayat Ahmad sebagaimana yang diwasiatkan, maka Syeikh Abdullah pun bersiap untuk menyampaikan wasiat yang kedua iaitu menyerahkan barang anak muda ini kepada Khalifah Harun ar-Rasyid.
“Wahai Amirul Mukminin! Saya Abdullah ibnu Farad. Saya ada menerima wasiat daripada seorang anak muda yang tidak dikenali untuk diserahkan barang ini kepada tuan dengan pesanannya agar jangan sampai tuan mati di dalam keadaan kealpaan dan keseronokan dunia”, kata Syeikh Abdullah memperkenalkan dirinya.
Sebaik saja Amirul Mukminin melihat Mushaf dan cincin takhta kerajaan, tiba-tiba badan baginda gementar dan mukanya berubah teringatkan anaknya yang pergi tanpa berita itu. Apa lagi kata-kata itu pernah didengarnya suatu waktu dulu.
“Dekatlah diri engkau denganku, ceritakan apa yang berlaku”, kata Amirul Mukminin.
Terjadilah perbualan yang sangat mengharukan antara Khalifah Harun ar-Rasyid dengan Syeikh Abdullah yang pernah menjadi majikan kepada puteranya.
“Wahai Syeikh Abdullah! Semasa hayatnya pekerjaan apa yang engkau bagi kepadanya?” Soal Amirul Mukminin.
“Mengorek tanah dan mengecat rumah”, jawab Syeikh Abdullah jujur.
“Wahai Abdullah, adakah sampainya hati engkau menjadikan orang yang bersambung nasab dengan nasab Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai pekerja yang sedemikian?” Tanya Khalifah.
“Saya mohon maaf wahai Amirul Mukminin. Sebenarnya saya tidak mengetahui putera itu anak tuan”, kata Syeikh Abdullah.
Khalifah tidak dapat menahan sebak mengenangkan kisah perjalanan anaknya yang menempuh jalan zuhud itu dan akhirnya menemui Allah. Khalifah berkata “Wahai Abdullah, dia dilahirkan sebelum aku menaiki takhta sebagai khalifah, dan dia tumbuh menjadi anak yang soleh, dia menghafal al-Qur’an dan mempelajari ilmu syari'at. Ketika aku diangkat menjadi khalifah dia meninggalkan aku dan tidak mau menikmati harta dunia yang aku miliki sedikitpun juga”.
Maka aku menyerahkan cincin ini kepada ibunya, ia adalah permata yang sangat mahal harganya.
Aku berkata kepada ibunya, serahkan cincin ini kepada anak kita dan mintalah agar dia membawanya agar dia boleh memanfaatkannya suatu hari kelak, Dia adalah seorang anak yang sangat berbakti kepada ibunya. Semenjak ibunya meninggal aku tidak pernah lagi mendengar beritanya kecuali khabar yang telah engkau sampaikan kepadaku”, sambung Khalifah lagi.
Pada suatu malam Syeikh Abdullah bermimpi bertemu sekelompok benda putih seakan-akan awan, di bawahnya ada sebuah kubah yang dibuat daripada cahaya. Seketika kemudian awan itu pecah dan muncul seorang anak muda dari dalam sambil memanggil beliau: “Wahai Syeikh Abdullah! Semoga Allah membalas kepada tuan atas jasa-jasa tuan yang telah mengambil berat terhadap diri saya dengan kebaikan yang banyak sekali.”
“Wahai Ahmad, engkau di mana sekarang?” Tanya Syeikh Abdullah.
“Saya telah pergi menemui Tuhan Yang Maha Mulia, Allah telah meredhai diri saya, Dia telah memberikan saya pemberian yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, tidak pernah terlintas di hati manusia”, jawab anak muda itu.
Kemudian anak muda itu menasihatkan agar janganlah manusia keluar dari dunia yang fana ini kecuali di dalam keadaan keredhaan Allah Subhanahu wata’ala. Kemudian Syeikh Abdullah terjaga daripada tidurnya lalu tersenyum dan beliau berhasrat untuk menceritakannya kepada Khalifah Harun ar-Rashid supaya terubat sedikit hati khalifah bila mendengarnya.
Semoga kisah di atas sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran dan panduan untuk kita semua. Apabila sudah sampai masa kita kembali ke pangkuan Allah Subhanahu wata’ala hendaklah kita berada di dalam keredhaanNya.
(Raudh ar-Rayyahin lil Imam Yafi')
Tiada ulasan:
Catat Ulasan