Ahad, 23 Ogos 2015

AS SAYYID HABIB NUH: MENUNDUK GABENOR YANG ANGKUH

share dari link fb ~ Inspirasi Taming Sari

AS SAYYID HABIB NUH: MENUNDUK GABENOR YANG ANGKUH

As Sayid Habib Nuh dikurniai Allah berbagai-bagai karamah sebagai tanda kemuliaan pada dirinya. Pelbagai cerita mengenai kewalian dan karamah beliau dibawa dari mulut ke mulut sehinggalah kepada Sayid Hassan Al Khattib, penjaga maqam Habib Nuh r.h. Di antaranya adalah seperti berikut:

As Sayid Habib Nuh bersikap tidak menghormati orang-orang yang angkuh dengan kekayaan atau jawatan duniawi. Begitulah, walaupun orang menghormati atau takut kepada Crawford, Gabenor Singapura ketika itu, tetapi Habib Nuh tidak pernah menghormati atau takut kepada wakil penjajah itu.

Dalam satu peristiwa, Gabenor Crawford marah dan menghina Habib Nuh kerana Habib Nuh tidak menghormatinya. Tiba-tiba saja kereta kuda yang dinaiki Gabenor itu terlekat di bumi dan tidak dapat bergerak. Gabenor naik marah dan bertanya hal itu kepada pengiringnya. Tetapi pengiring itu bertanya kepada tuan Gabenornya, “Tahukah tuan siapakah orang yang tuan marah dan hina itu?”

Gabenor menjawab, “Itu orang gila.”

“Sebenarnya dia bukan gila tetapi dia orang baik dan ada karamah. Lihat, bila tuan marah pada dia, dia sumpah dan sekarang kereta tuan tidak dapat bergerak,” jelas pengiringnya.

Gabenor menjadi takut dan akhirnya meminta maaf kepada Habib Nuh. Setelah Habib Nuh menepuk-nepuk kaki kuda itu, barulah kuda itu berjalan pantas seperti biasa. Sejak itu Gabenor sedar betapa As Sayid Habib Nuh r.h. mempunyai kelebihan luar biasa.

Bagaimanapun, pada satu ketika Gabenor Crawford terus bersikap bongkak dan sombong dan memerintahkan orang- orangnya menangkap Habib Nuh dan mengurungnya di dalam penjara dengan kaki dan tangannya dirantai. Tindakan keras ini diambil kerana As Sayid Habib Nuh tetap enggan menghormati wakil penjajah yang beragama kristian itu. Anehnya, para pengawal penjara kemudian melihat Habib Nuh berada di luar penjara. Tangan dan kakinya tidak dirantai.

Walaupun ditangkap semula, dia tetap dapat keluar dan kelihatan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku padanya. Akhirnya beliau dibebaskan sepenuhnya.

Dalam satu peristiwa lain, ketika sebuah kapal hendak belayar, muncul Habib Nuh di pelabuhan. Habib Nuh menahan barang-barang yang berharga daripada dibawa bersama dalam pelayaran itu. Orang-orang yang terlibat tidak senang dengan sikap Habib Nuh tetapi Habib Nuh tetap bertegas: “Tidak boleh barang-barang yang berharga itu dibawa.”

Setelah lama berbalah, akhirnya orang ramai terpaksa akur dengan kemahuan Habib Nuh itu dan pemilik barang-barang tersebut tidak jadi mengirim barangnya dengan kapal itu.

Beberapa hari kemudian, penduduk Singapura mendapat berita bahawa kapal yang belayar itu terbakar dan tenggelam di tengah lautan. Barulah tuan punya barang-barang tersebut sedar hikmah di sebalik larangan Habib Nuh itu. Beliau bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT.

Seorang lelaki yang hendak belayar menemui Habib Nuh meminta beliau mendoakan agar pelayarannya itu selamat. Alhamdulillah, lelaki itu selamat dalam pelayaran. Dan anehnya apabila sampai di tempat yang dituju dan sebaik saja turun dari kapal, didapatinya Sayid Habib Nuh sedang menunggunya. Orang itu terperanjat, bagaimana Sayid Habib Nuh boleh berada di situ dan dengan apa dia datang.

Dalam satu penstiwa lain, seorang berniat dalam hatinya ketika hendak belayar, sekiranya dia selamat pergi dan balik dia akan menghadiahkan kain kepada Habib Nuh. Setelah 10 tahun berlalu, dia pun pulang dari pelayaran itu. Habib Nuh pergi menemuinya dan menuntut kain seperti yang diniatkannya itu. Orang itu terperanjat kerana dia tidak pernah menyatakan niatnya itu kepada sesiapa dan dia sendiri sudah lupa dengan niatnya itu kerana terlalu lama, tetapi Habib Nuh datang mengingatkannya akan niat baiknya itu.

Menurut orang-orang yang hidup sezaman dengan Habib Nuh, mereka pernah bertemu atau berada dengannya di beberapa tempat dalam satu masa yang sama. Kejadian seperti ini tidak pelik bagi para wali-wali Allah.

Syed Mohd Rosdi (kiri), yang lebih dikenali sebagai Tok Aki, bersama Abuya Imam Ashaari Muhammad At Tamimi dalam satu pertemuan di Singapura pada Mei 1991. TukAki adalah ahli keluarga Habib Nuh dan merupakan mur’id Sayidi Syiekh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi (pengasas Tareqat Aurad Muhammadiah) yang masih hidup.

Antara sifat yang menonjol pada diri Sayid Habib Nuh ialah, beliau sangat menyayangi kanak-kanak. Sering orang bertemu Habib Nuh dikelilingi oleh kanak-kanak. Ini sesuatu yang ganjil. Kadang-kadang beliau singgah di kedai-kedai bersama kumpulan kanak-kanak, dan kanak-kanak itu mengambil seberapa banyak makanan yang ada tanpa membayar apa-apa.

Anehnya, tuan-tuan kedai tidak pula melarang perbuatan itu. Kerana mereka yakin kedai mereka akan beroleh berkat jika dikunjungi Habib Nuh bersama kumpulan kanak-kanak itu. Ini terbukti, mana-mana kedai orang Islam yang didatangi oleh Habib Nuh bersama kanak-kanak itu, kemudiannya menjadi maju dan tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.

Sayid Habib Nuh sayang kepada kanak-kanak kerana mereka adalah alilul Jannah (ahli Syurga). Kelakuan Sayid. Syed Hassan Al Khattib, orang yang banyak mengetahui riwayat hidup Habib Nuh.

Habib Nuh itu agak ganjil bagi seorang yang sudah tua. Memang itu merupakan di antara keganjilan Habib Nuh, seorang yang mempunyai keistimewaan yang terlindung.

Petikan Buku ; 7 Wali Melayu oleh Abdul Ghani Said. Mahbook Publications.

Sumber artikel : www.thepatriots.my
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan