CUKUPLAH ALLAH SEBAGAI PENOLONG
Kadang-kadang diri letih dengan permainan dunia, sampaikan terasa macam nak menangis sepuas-puasnya tetapi tahanlah selagi boleh, sebab air mata tak boleh selesaikan masalah dunia.
“……dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” (Yusuf: 87)
Diri ini tidak sesekali mahu mengeluh dengan ujian-ujian ini ya Allah, tetapi terkadang jiwa yang menanggungnya terasa begitu berat bebanannya. Aku mesti kuat! Terkadang, aku menangis sendirian. Menangis mengenangkan diri yang semakin hari semakin terasa jauh dari rahmat dan kasih sayangMu. Aku bimbang, aku takut, aku sedih andainya Engkau yang selalu di sisi suatu ketika dahulu, akan pergi meninggalkanku yang tenggelam dalam lautan dunia penuh pancaroba.
Aku di sini...
sangat merindukan tahajjud di sepertiga malam bertemankanMu,
sangat merindukan bacaan Ma'thurat di pagi dan petang bersamaMu,
sangat merindukan lantunan alunan ayat-ayat suciMu dari bibirku,
sangat merindukan kata-kata semangat yang pernah aku perolehi dulu,
sangat merindukan saat mata bertemu para sahabat yang kukasihi,
sangat merindukan ketenangan dan kelapangan masa untuk beribadah,
sangat merindukan bacaan-bacaan ilmiah di rak buku milikku..
Ya Allah, di mana seharusnya aku melabuhkan rasa rindu ini..?
Andai diri ini terlalu sibuk menguruskan hal-hal duniawi,
Aku tidak mahu menjadi semakin lemah,
Kembalikanlah semangatku yang dahulu,
Seorang mujahid, mujahidah kecil,
Yang selalu bersemangat dalam apa jua keadaan,
Yang selalu ceria dalam kehidupan,
Yang ingin menjadi kuat tika yang lain kelemahan,
Di sini, imanku kerap kali diuji,
Di setiap langkahan kakiku,
Aku bimbang aku berpakaian bukan keranaMu,
Aku bimbang aku menjadi insan yang lain,
Aku bimbang semua yang ku lakukan bukan lagi keranaMu,
Ya Allah,
Di setiap sujudku,
Kerapkali ku meminta agar Engkau tidak meninggalkanku,
Aku menangis dalam hatiku,
Kerana di saat ini,
Tiada insan yang mengerti apa yang sedang kulalui,
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan).
Sahabatku..
Setiap kepahitan pasti akan ada kemanisan..
Setiap kesulitan pasti akan ada kemudahan..
Itulah aturan yang Maha Pencipta..cukup sempurna..
Tidaklah Dia hanya ciptakan kesulitan tanpa kemudahan dan tidak hanya diciptakan kepahitan tanpa kemanisan...
Tetapi kita sebagai manusia selalunya alpa dan leka..
Selalunya tidak bersyukur dan sentiasa mengeluh apabila ujian dan dugaan datang bertamu..
Sedangkan ujian dan dugaan itu adalah untuk menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan kita padaNya..
Kepahitan dan kesulitan dalam menempuh dugaan, ujian dan cabaran kehidupan itulah yang akhirnya akan membuahkan kemudahan dan kemanisan di hujungnya. Kemanisan itu akan terasa terlalu indah jika sentiasa bersabar menghadapi dugaan ujian dan cabaran kehidupan.
Tanpa mengharungi kepayahan, kita tidak akan merasa nikmat kemanisan. Sama juga keadaannya bila kita jatuh sakit, jika tidak sakit kita tidak akan merasa manisnya nikmat sihat itudan pasti tidak akan menghargainya.
Begitulah kehidupan, kesulitan, kepayahan dan kepahitan dalam kehidupan sebenarnya mengajar erti kehidupan yang sejati dan menjadi guru yang memberi pengalaman yang sangat berguna.
Janganlah mengeluh jika waktu ini kita dilanda kesulitan dan kepahitan kerana pasti akan adanya kemudahan dan kemanisan selepas ini. Sabarlah menempuh dugaan hidup. Allah tidak akan membebankan hambaNya dengan dugaan yang tidak mampu dipikul oleh hamba-hambaNya.
Kesulitan ini menunjukkan bahawa Dia sangat menyayangi diri kita. Bersyukurlah dengan setiap kesulitan yang datang. Yakinlah bahawa diakhirnya nanti, pasti akan ada kesenangan dan kemanisan hidup. Hasbunallahu wa ni'mal wakil..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan