Alkisah daun
Seorang anak murid Ustaz Ibrahim ditugaskan membersihkan daun yang gugur daripada sepohon pokok di perkarangan masjid.
Selepas solat subuh setiap hari, anak murid ini akan mengambil penyapu lidi dan memulakan tugasnya membersihkan daun-daun yang gugur.
Kerana daun yang gugur lebat, anak murid mengambil masa hampir sejam setiap hari untuk menyapu daun.
“Ini satu tugas yang perit,” keluh anak murid itu selepas menyapu untuk lima hari berturut-turut.
Anak murid memikirkan pelbagai cara untuk meringankan tugasnya. Satu hari datang seorang rakan anak murid yang memberitahunya:
“Kamu goyanglah pokok itu sehingga daun yang sepatutnya jatuh pada hari esok gugur hari ini. Jadi besok subuh tak payahlah kamu bersusah-payah untuk sapu,” nasihat rakannya.
Anak murid terlalu gembira mendengar cadangan ini lalu menggoyang-goyang pokok dengan sepenuh hati dan membersihkan lebihan daun yang gugur dengan tanggapan bahawa tugasnya esok sudahpun dapat diselesai pada hari ini.
Pada subuh keesokannya, anak murid terkejut melihat perkarangan masjid penuh dengan daun lagi meskpun sudah menggoyang pokok tersebut semalam.
Ustaz Ibrahim yang tersenyum melihat karenah anak muridnya datang mendekati anak muridnya.
“Wahai anakku, tidak kira bagaimana kamu goyang pokok tersebut, esok tetap ada daun yang gugur.
Banyak perkara di dunia ini tidak dapat diawalkan. Manusia hanya boleh hidup dalam waktu ini. Biarlah masalah besok tinggal diselesaikan pada hari besok. Jika hari esok timbul masalah, kamu tidak dapat menyelesaikannya hari ini.
Setiap hari ada kerja yang dikhaskan Allah untuk kamu. Kamu hanya perlu menyiapkan tugas kamu hari ini dengan sebaik mungkin – yang lain kamu fikirlah kemudian. Faham?” kata Ustaz Ibrahim sambil anak muridnya mengangguk dan memeluk beliau.
Senyum
blog saya satu lagi boleh dilawati : http://sharmine205omarshahab.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan