Sabtu, 7 Disember 2013

JAGALAH LIDAHMU..

share dari link fb ~Syed Johan Mustaqim

JAGALAH LIDAHMU..


Walaupun kita rasa kita adalah benar, biarlah ada adab-adabnya dalam menegur agar tidak terluka perasaan orang yang ditegur. Kebenaran tidak dapat dibuktikan dengan sikap biadab dan umpat keji terhadap orang lain yang kelihatan berdosa di mata kita. Berhati-hatilah dengan penyakit lidah kerana ianya bukan sahaja akan membinasakan orang lain tetapi lebih utamanya kerana ianya akan merosakkan diri kita sendiri.

Menurut Imam Al-Ghazali, dalam Ihya Ulum al-Din, penyakit lidah manusia dikategorikan sebagai penyakit yang membinasakan (al-muhlikat) baik diri sendiri, agama, keluarga, perpaduan umat dan melemahkan keutuhan negara.

Jenayah lidah termasuk mencemuh, mengata, menyindir, merendah-rendah dan mengaibkan orang lain atau keluarga mereka serta memberi gelaran buruk seperti nama haiwan atau melabel kafir, jahiliah, munafik dan Firaun.

Termasuk dalam kategori ini ialah berprasangka buruk (su’ al-zann) atau umpatan mental. Semua perbuatan ini, sama ada melalui tulisan, sindiran, ejekan, isyarat, lakonan atau dalam ceramah, jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan berdosa.

Kata Imam Ghazali, dosa perbuatan mengumpat (ghibah) adalah lebih berat daripada 30 kali berzina, manakala dosa fitnah setara dengan jenayah pembunuhan.

Sebuah hadis daripada Jabir dan Abi Sa’id menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Awasilah perbuatan mengumpat, kerana mengumpat lebih berat daripada zina. Sesungguhnya orang berzina yang bertaubat akan diampunkan oleh ALLAH SWT, manakala orang yang mengumpat tidak akan diampunkan dosanya sehingga dia dimaafkan oleh orang yang diumpat.” 

Penyakit mengumpat ini tidak terbatas kepada orang biasa-biasa sahaja, malah ada kalanya ulama juga mengumpat dan memfitnah. Malah semangat dan komitmen sesetengah mereka dalam menentang kemungkaran boleh juga mendorong kepada jenayah lidah dan kezaliman terhadap orang lain.

Perlu diingat....Jenayah lidah yang dilakukan ulama lebih berbahaya berbanding golongan lain kerana dilakukan berselindung di sebalik kebaikan dan kewarakan yang dipamerkan.

Malah, mereka yang cepat menuduh orang lain dengan pelbagai label, gelaran dan tuduhan boleh menjadi munafik jika memburukkan usaha orang lain atau menentang pembangunan, tetapi mereka pula secara rahsia merebut segala kemudahan yang disediakan.

Mereka juga harus ingat bahawa orang yang mencaci, mengumpat dan memfitnah dilabel oleh al-Quran sebagai orang-orang yang zalim (49:11).

Manakala di akhirat pula, mengikut hadis Rasulullah SAW, golongan ini dianggap muflis, lantaran semua amalan kebaikan yang mereka lalukan semasa hidup di dunia terpaksa dibayar kepada orang yang mereka caci, umpat dan fitnah sehingga mereka sendiri menjadi muflis lalu dihumban ke dalam neraka.

Walaupun Islam menghormati kebebasan individu, kebebasan itu tidak boleh sampai menggugat hak dan ketenteraman, mencabul, menghakis perasaan kasih sayang atau menyakiti hati orang lain. Mesti ada sikap bertanggungjawab, bertolak ansur dan sensitiviti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan