SALAH FAHAM TENTANG DO’A
KITA berdo’a bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita hendak kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan. Jadi perlu apa lagi kita berdo’a? Imam Ibn Ataillah menjawab persoalan ini dengan berkata,
|| “… hendaknya do’a permintaanmu adalah untuk menunjukkan sifat kehambaanmu dan menunaikan kewajipan terhadap kemuliaan Tuhanmu.”
Berdo’a sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Do’a adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah سبحانه وتعالى .Dengan berdo’a kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-NYA. Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat do’a.
Dan Allah berfirman yang bermaksud:
“Berdo’alah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah Ghafir 40: 60)
Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdo’a, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.
Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdo’a kepada-NYA. Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah. Para Rasul, nabi dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan do’a dalam kehidupan harian, mingguan dan tahunan pada setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka mesti selalu berhubung dengan-NYA. Dan do’a adalah “medium” perhubungan itu.
SALAH FAHAM TENTANG DO’A
Ada pihak yang menganggap do’a itu hanya satu pemberitahuan kita kepada Allah tentang apa yang mereka inginkan. Lalu apabila tidak ada apa yang diinginkan, tidak perlulah berdo’a. Anggapan ternyata salah kerana do’a itu bukan permohonan tetapi juga satu kewajipan. Maka berdo’a itu merupakan lambang kehambaan kita kepada yang Maha Esa. Oleh sebab itu, do’a perlu dilakukan setiap masa dan ketika kerana kita ialah hamba Allah selama-lamanya.
Selain itu do’a juga BUKAN sesuatu yang pasif. Maka apabila sudah tiada usaha yang boleh dibuat lagi, menyerah dan pasrah sajalah kepada Allah. Anggapan sesetengah orang ini ternyata salah kerana do’a itu sesuatu yang pro-aktif. Malah do’a itu perlu dibuat sebelum kita melakukan sesuatu kerja, semasa dan selepasnya. Do’a penting pada permulaan, pertengahan dan pengakhiran sesuatu tindakan.
Islam tidak mahu umatnya berdo’a setelah berasa lemah. Jangan berdo’a dan berharap kepada Allah hanya setelah doktor mengakui ketidakupayaannya. Tetapi berdo’alah kepada Allah sebelum kita menemui doktor untuk mengubat penyakit itu. Do’a sesuatu yang bersifat proaktif, bukan jumud dan pasif. Lihatlah, dengan keberkatan do’alah Nabi Musa mampu berdepan dengan Firaun dan ahli sihirnya. Dengan do’a juga, Nabi Ibrahim meruntuhkan berhala-berhala sembahan Namrud. Malah Nabi Muhammad berdo’a ketika memulakan hijrah. Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do’a.” (Surah Ibrahim 14: 39)
Ingatlah bahawa perbezaan antara orang yang berdo’a dengan orang yang tidak berdo’a umpama orang hidup dengan orang yang mati. Dengan berdo’a kita mengaktifkan tenaga dalaman kita yang mampu menghadapi apa jua masalah dan cabaran hidup. Jangan cuba hidup bersendirian kerana hidup ini perlukan teman. Dan sebaik-baik “teman” ialah “Teman daerah tinggi” (al-rafiq al-a‘la) yang disebut berulang kali oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjelang wafatnya.
Renungkan ungkapan berikut:
|| “Do’a diperkenankan bukan semasa kita meminta tetapi semasa kita berusaha!”
Kredit: genta-rasa.com
_______________
Shared By: ⓑⓘⓒⓐⓡⓐ ღ ⓗⓘⓓⓐⓨⓐⓗ ( .. buat diriku ..)
Bicara Hidayah - Bicara Hati ღ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan