KEAJAIBAN
Agak ajaib apabila banyak gambar dan imej tersebar dan disebarkan di internet yang didakwa mengandungi kalimat-kalimat suci seperti ‘Allah’, ‘Muhammad’, ‘Islam’, dan lain-lain dalam tulisan Arab, yang dikatakan sebagai tanda-tanda kebenaran Islam yang ditunjukkan oleh Allah. Lantas menyandarkan kepada agama.
Alangkah ajaib perbuatan seperti ini. Tidakkah seluruh alam ini termasuk langit, bumi, lautan, daratan, manusia, haiwan dan segala makhluk adalah satu keajaiban yang maha nyata dan tanda kebesaran dan kehebatan Allah Taala? Kehebatan dan kebesaran Allah melalui alam semesta ini dapat disaksikan oleh seluruh manusia tanpa perlu kepada sebarang takalluf (mengada-ngada dan memaksa-maksa).
Tidakkah kita perhatikan ayat Allah Taala:
حم . تَنزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ . إِنَّ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّلْمُؤْمِنِينَ . وَفِي خَلْقِكُمْ وَمَا يَبُثُّ مِن دَابَّةٍ آيَاتٌ لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ . وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن رِّزْقٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ آيَاتٌ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ . تِلْكَ آيَاتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَ اللَّهِ وَآيَاتِهِ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: Haa, Miim. Turunnya Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran. Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?
Tidak dinafikan bahawa Allah Taala mampu untuk mencipta dan menyerlahkan keajaiban-keajaibanNya melalui makhluk-makhlukNya. Tetapi yang dibimbangi ialah jikalau kita termasuk di kalangan orang yang mereka-reka dan memaksa-maksa diri mempercayai suatu yang bukan ajaib sebagai ajaib.
Dan dibimbangi juga, jika ‘keajaiban-keajaiban’ tersebut diiktiqad oleh orang-orang jahil sebagai sandaran dalam menentukan kebenaran.
Bagaimana agaknya jika mereka terjumpa satu imej makhluk yang mengandungi lambang salib pula? Nauzubillah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan